• Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan isu mengenai perpindahan pemain muda negara, Akhyar Rashid tidak perlu dibawa ke pengetahuan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

    Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, permasalahan ini boleh diselesaikan dengan membuat pertemuan ’empat mata’ bersama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

    “Kita terbuka dan sedia berbincang dengan KFA mengenai isu ini. Mungkin wujud salah faham daripada sudut pemahaman mengenai peruntukan dalam urusan perpindahan pemain itu dan kita sedia berbincang dengan KFA.

    “Tidak perlu untuk memperbesarkan isu ini kerana selaku badan induk, kami bersedia untuk mencari jalan terbaik bagi menangani apa jua masalah yang membabitkan ahli gabungan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Sebelum ini, KFA mengancam mahu membawa permasalahan ini ke pengetahuan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) kerana mereka tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh badan induk bola sepak negara itu.

    Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris menyifatkan keputusan FAM itu jelas tidak adil dan pihaknya akan mengemukakan aduan kepada CAS untuk menuntut keadilan.

    FAM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam menolak rayuan KFA untuk mendapatkan pampasan lebih tinggi daripada mana-mana pasukan yang mengambil khidmat Akhyar.

    Malah, Jawatankuasa Rayuan badan induk itu yang bersidang pada kelmarin dan dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff memutuskan jumlah pampasan RM75,000 yang ditetapkan Jawatankuasa Rayuan awal bulan ini, kekal.

    Setakat ini, ada tiga pasukan yang dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 19 tahun ini. Tiga pasukan tersebut ialah juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta’zim, pasukan yang akan beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan, Perlis dan pasukan Selangor.

    Baca Juga: KFA Heret FAM Ke Mahkamah

    Leave a comment

    Your email address will not be published.