• Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe mahu menjulang trofi Piala AFF Suzuki 2018 dan berharap para pemain boleh menampilkan aksi terbaik mereka pada perlawanan akhir menentang pasukan Vietnam.

    Kali terakhir Cheng Hoe menjulang trofi Piala AFF ialah pada edisi 2010 dimana ketika itu beliau menjadi pembantu kepada Datuk K.Rajagopal. Malaysia berjaya menewaskan pasukan Indonesia dengan keputusan 4-2 secara agregat.

    “Saya rasa setiap jurulatih mempunyai impian untuk mengecap kejuaraan, dan kejayaan pada 2010 akan sentiasa menjadi kenangan terindah buat saya.

    “Namun pada 2018, ia situasi berbeza. Kali ini saya sebagai ketua jurulatih dan saya yakin dengan pemain bahawa mereka juga mahu melakar kejayaan manis,” katanya kepada Sinar Harian.

    Menjelang perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini, Cheng Hoe mempunyai keyakinan tinggi bahawa anak-anak buah beliau mampu untuk memberikan kejutan kepada pasukan lawan meskipun mereka mempunyai strategi yang tersendiri.

    “Jurulatih Vietnam mungkin sudah ada strategi bagaimana untuk berdepan Malaysia, namun bukan mudah bagi pemain-pemain muda mereka berdepan ribuan penyokong Harimau Malaya yang hadir memenuhi stadium.

    “Apa pun perancangan mereka, saya tetap yakin dengan Harimau Malaya dan pastinya kami bakal memberikan sesuatu kejutan buat Vietnam malam ini,” kata Cheng Hoe menurut laporan Kosmo.

    Pada masa yang sama, Cheng Hoe masih menunggu perkembangan dua pemain yang mengalami kecederaan hamstring iaitu Aidil Zafuan dan Syazwan Andik Ishak.

    “Buat masa ini, Aidil dan Syazwan masih belum menyertai latihan bersama pasukan, namun kita tetap memantau perkembangan mereka pada saat-saat akhir.

    “Namun, bagi saya sesiapa sahaja yang diturunkan bagi membarisi benteng pertahanan negara, saya mengharapkan mereka dapat memberikan impak sama buat pasukan,” tambahnya.

    Baca Juga: Malaysia Turun Tanpa Tiga Tonggak

    Leave a comment

    Your email address will not be published.