• Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe menyasarkan pasukan negara untuk berusaha sebaik mungkin bagi melayakkan diri ke temasya Piala Asia edisi akan datang.

    Beliau berkata demikian setelah skuad Harimau Malaya menampilkan aksi yang cemerlang dalam saingan Piala AFF Suzuki 2018 yang baru berakhir pada Sabtu lalu.

    “Kami mengharungi perjalanan yang menakjubkan sepanjang kempen Piala AFF, biarpun ramai tidak meletakkan harapan pasukan ini mampu melangkah jauh.

    “Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan pemain dari hari pertama hingga perlawanan akhir.

    “Prestasi mereka adalah petanda positif kepada bola sepak negara untuk kembali menjadi gergasi Asia Tenggara, malah Asia suatu hari nanti.

    “Selepas ini, kita tidak boleh hanya menyasarkan Piala AFF. Kita perlu layak ke Piala Asia.

    “Dengan 80 peratus pemain dalam skuad ini masih muda, saya percaya mereka mampu memberi sumbangan lebih besar selepas ini jika terus konsisten serta mampu meningkatkan tahap permainan,” kata Cheng Hoe menurut laporan Utusan.

    Kebanyakkan daripada pemain yang beraksi dalam skuad kali ini ialah pemain muda. Pemain seperti Syahmi Safari, Syazwan Andik dan Syamer Kutty Abba menampilkan prestasi yang baik sepanjang saingan.

    Dengan kerja keras dan juga beraksi peringkat tertinggi, tidak mustahil pemain muda negara mampu untuk layak ke saingan Piala Asia setelah kali terakhir beraksi di temasya tersebut ialah pada 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam.

    Pada masa yang sama, Cheng Hoe turut mengulas mengenai kontraknya sebagai ketua jurulatih yang akan tamat hujung bulan ini. Bekas pengendali pasukan Kedah yang mengambil alih skuad kebangsaan pada 7 Disember 2017 ini menggantikan Nelo Vingada dan beliau menyerahkan sepenuh nasibnya majikan beliau iaitu FAM.

    “Saya sudah menjalankan tugas sebaik mungkin, apa sahaja keputusan (masa depan) saya, serah kepada pengurusan tertinggi untuk menentukan. Jika khidmat masih diperlukan lagi saya bersedia,” tambah Cheng Hoe.

    Apa yang pasti, pemain perlu mengekalkan momentum cemerlang bagi memastikan pasukan negara dapat layak ke temasya Piala Asia pada edisi akan datang.

    Baca Juga: Tan Cheng Hoe Patut Dikekalkan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.