• Ketua pasukan skuad kebangsaan, Zaquan Adha berkata tidak mustahil untuk Malaysia mencatat kemenangan pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 dengan sokongan padu daripada peminat.

    Zaquan sedar dengan harapan tinggi peminat yang diletakkan di bahu para pemain dan beliau berpendapat kelebihan aw tidak mustahil untuk diperolehi dengan sokongan padu daripada puluhan ribu peminat yang bakal membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

    “Kami tahu harapan penyokong amat tinggi dan kami faham. Sudah pasti kami mahu memberi aksi yang terbaik untuk mendapatkan keputusan yang bagus. Saya fikir tidak mustahil untuk bertemu pasukan yang kuat seperti Thailand, apa pun boleh berlaku.

    “Yang penting kami bermain dalam satu pasukan dan semangat juang yang tinggi, kami mampu untuk atasi pasukan Thailand.

    “Sokongan yang diberikan oleh peminat amat memberangsangkan dengan memenuhi setiap sudut stadium. Sebagai pemain, apabila kami melihat penyokong menyanyi dan memberikan sorakan, penat lelah kami berlari di atas padang tidak begitu terasa. Terima kasih kepada penyokong Harimau Malaya,” katanya menurut laporan Utusan.

    Sedikit motivasi tambahan untuk anak-anak buah Tan Cheng Hoe dimana Thailand tidak pernah menang apabila beraksi di Kuala Lumpur sejak tahun 1971.

    Meskipun Thailand dicanang sebagai calon juara pada saingan edisi kali ini, namun tiada apa yang mustahil bagi pasukan negara kerana ini adalah pentas separuh akhir. Jadi apa sahaja boleh berlaku dan Harimau Malaya sememangnya mempunyai peluang untuk menewaskan Thailand.

    Setelah mengharungi perlawanan separuh akhir pertama hari ini, separuh akhir kedua dijadualkan berlangsung di gelanggang keramat Thailand iaitu Stadium Rajamangala pada 5 Disember nanti.

    Baca Juga: Malaysia Tak Rela Kehilangan Rekod

    Leave a comment

    Your email address will not be published.