• Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) menyatakan mereka akan membayar tunggakan gaji seramai 30 pemain yang terlibat secara berperingkat bermula bulan depan. Perkara ini sudah dimaklumkan kepada pemain dan PFA berharap tiada isu yang dibangkitkan selepas ini.

    Menurut presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Shafie berkata beliau tidak faham mengapa masih ada pemain yang cuba membangkitkan isu tunggakan gaji walhal pihaknya membantu untuk melunaskan tunggakan gaji pemain tersebut meskipun masalah tersebut dibuat oleh pengurusan sebelum ini.

    “Dalam kontrak akan dibayar pada Januari ini dan selepas itu dibayar secara berperingkat iaitu secara bulanan sehingga habis tunggakan. Saya harap perkara ini tidak dijadikan isu kerana Perlis ketika dalam proses membangunkan semula sukan bola sepak di negeri ini.

    “Rakyat dan penyokong di negeri ini begitu teruja dengan pembaharuan yang cuba dilakukan oleh PFA dan diharap usaha tersebut disokong,” katanya kepada Utusan Malaysia.

    Hari ini, pengelola Liga Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah memberi kebenaran untuk pasukan Perlis beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan. Berikut adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh MFL sebentar tadi.

    “Setelah pertimbangan diberikan, Lembaga Pengarah MFL mengambil keputusan untuk mempromosikan pasukan Perlis FA ke Liga Premier Malaysia 2019 dengan beberapa syarat.

    “Perjumpaan telah diadakan bersama Datuk Ahmad Amizal Shaifit, Presiden Perlis FA, di Wisma FAM, dimana pihak MFL diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kevin Ramalingam dan pihak FAM diwakili Setiausaha Agung Stuart Ramalingam. Pihak Perlis FA telah dimaklumkan bahawa promosi ini bersyarat bahawa pihak Perlis FA perlu menyelesaikan masalah tunggakan yang sedia ada.

    “Walau apapun, persetujuan bersama telah dicapai dimana agihan kewangan dari MFL kepada Perlis FA untuk musim 2019 akan ditahan oleh pihak MFL dan pihak Perlis FA diberi tempoh masa 60 hari untuk melangsaikan segala bayaran tertunggak.

    “Jika Perlis FA gagal untuk melangsaikan hutang tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan, Perlis FA tidak akan menerima pengagihan dana dari MFL dan agihan ini akan digunakan untuk menyelesaikan tunggakan tersebut. Dengan cara ini, isu tunggakan gaji Perlis FA yang diwar-warkan kebelakangan ini sudah pasti akan selesai.”

    Apa yang penting, Perlis tidak boleh terlibat dengan isu tunggakan gaji seperti yang terjadi sebelum ini. Pengurusan pasukan perlu lebih bijak dalam berbelanja dan mengawal kantung kewangan pasukan agar tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

    Baca Juga: Perlis Tidak Bola Ulangi Kesilapan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.