• Pemain kelahiran Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal bersikap terbuka apabila ditanya sama ada beliau akan mewakili pasukan kebangsaan Amerika Syarikat atau menyarung jersi Harimau Malaya pada masa akan datang.

    Menurut Wan Kuzain, ada dua pemain negara yang menarik minat beliau kerana kedua-dua pemain sentiasa memberikan komitmen penuh apabila diturunkan.

    “Dua pemain Malaysia menarik minat saya iaitu Akhyar dan Safawi kerana mereka menunjukkan aksi yang begitu berani dan sentiasa mencari jalan untuk mengatasi pertahanan lawan.

    “Saya mahu menjadi pemain dengan kriteria sebegitu dan sudah tentu saya mahu beraksi bersama mereka,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Pemain berusia 20 tahun ini juga mengikuti rapat perkembangan pasukan negara yang baru saja menamatkan saingan Piala AFF Suzuki 2018 dengan menjadi naib juara.

    Sumber Video: Wak Bola Malaysia

    Apabila ditanya mengenai pasukan kebangsaan mana yang akan beliau wakili pada masa akan datang, Wan Kuzain bersikap terbuka dan beliau akan membuat keputusan apabila waktunya sesuai.

    “Saya tidak menutup mana-mana pintu. Saya boleh mewakili Amerika Syarikat tapi keluarga saya orang Malaysia. Saya mahu memberikan sesuatu kepada keluarga yang sentiasa menyokong karier saya.

    “Buat masa ini, ia 50-50. Namun saya akan membuat keputusan terbaik apabila tiba masanya nanti.

    “Apa pun, impian utama saya semestinya untuk terus bersama Sporting KC. Ini detik terbaik buat saya dan saya mahu melangkah lebih jauh dalam karier saya,” tambahnya.

    Sejak mencipta nama di negara Uncle Sam itu, rata-rata peminat bola sepak tanah air mahukan Wan Kuzain untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya. Kualiti yang dimiliki oleh Kuzain dianggap mampu untuk meningkatkan lagi kualiti permainan pasukan negara.

    Ditambah dengan pemain muda yang lain seperti Safawi Rasid dan Akhyar Rashid, kombinasi ketiga-tiga pemain ini mampu untuk memberikan masa depan yang cerah untuk pasukan Malaysia.

    Apa yang pasti, Wan Kuzain perlu mengambil kira segala aspek dalam memilih pasukan kebangsaan yang akan diwakilinya kerana beliau mempunyai potensi untuk menjadi pemain tengah berkualiti.

    Baca Juga: Assist Pertama Wan Kuzain

    Leave a comment

    Your email address will not be published.