Sumber Gambar: PKNP FC

Bekas pemain tengah skuad kebangsaan, Hafiz Kamal mendapat talian hayat baru apabila beliau menyertai pasukan PKNP FC bagi saingan Liga Malaysia musim 2019.

Hafiz yang terpaksa melupakan saingan musim 2018 kerana kecederaan lutut yang dialami tidak mendapat kontrak lanjutan bersama pasukan Perak. Namun, PKNP bersedia untuk memberikan ruang kepada Hafiz beraksi sekaligus membantu pasukan.

“PKNP beri peluang kepada Hafiz Kamal. Dia kini sudah menyertai latihan bersama kami selama tiga hari,” kata Abu Bakar Fadzim menurut laporan Stadium Astro.

Tambah Abu Bakar, meskipun Hafiz tidak beraksi dalam jangka masa lebih setahun, tetapi beliau yakin pemain berusia 32 tahun itu berpotensi untuk menjadi pemain penting pasukan.

“Hafiz mungkin tidak secergas dahulu tetapi pengalamannya cukup berguna, terutama untuk membimbing pemain muda saya. Dia mampu menjadi pemimpin yang baik dalam padang kepada PKNP.

“Saya sedang memantau tahap kecergasannya dan berharap dapat membantu pemain itu mendapat kembali keyakinan dan rentak,” kata Abu Bakar yang mesra disapa Burn.

Hafiz Kamal terpaksa berehat lama setelah beliau mengalami kecederaan ligamen koyak di belakang lututnya pada September 2017 sehingga menyebabkan bekas pemain tengah Pahang dan Selangor ini terpaksa melupakan aksi musim lalu.

Selain memberi peluang kepada Hafiz, PKNP turut memberikan peluang kepada M. Mugenthiran dan bekas pemain Felda United serta Perak, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri.

PKNP akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan menentang pasukan Perlis pada Ahad ini dan Abu Bakar mahu menurunkan Hafiz Kamal serta seorang lagi pemain import.

“Pengalaman mereka pasti berguna buat pasukan. Saya buat keputusan selepas melihat meteka beraksi dalam latihan serta perlawanan persahabatan dengan Selangor minggu lalu,” katanya.

PKNP kehilangan dua tonggak utama iaitu Shahrel Fikri Fauzi dan Hafiz Ramdan yang memutuskan untuk menyertai pasukan Perak bagi saingan Liga Malaysia musim ini. Tugas besar bagi Abu Bakar bagi mencari pemain yang tepat untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan sekaligus memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super.

Baca Juga: Abu Bakar Fadzim Kekal Bersama PKNP FC

Leave a Reply