Sumber Gambar: Freemalaysiatoday.com

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengingatkan Johor Darul Ta’zim supaya tidak mengajar mereka tentang undang-undang dan peraturan jika pada peringkat awal mereka sudah melakukan kesalahan dalam usaha untuk mendapatkan Akhyar Rashid.

KFA menyangkal dakwaan kononnya mereka tidak pandai menjaga kebajikan pemain sehingga menyebabkan pemain tersebut mengambil keputusan untuk berhijrah dengan menyertai pasukan lain.

Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, JDT tidak perlu mencadangkan sesuatu yang seolah-olah mengikut peraturan sekiranya punca masalah dalam kes Akhyar adalah pelanggaran peraturan itu sendiri.

“Jika bercakap mengenai Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), kononnya tak perlu dan boleh runding tetapi tindakan awal (mereka) menawarkan pemain mengikut kaedah pintu belakang itu dah salah awal-awal lagi.

“Bagi KFA paling adil adalah CAS yang merupakan pihak ketiga tidak berkepentingan. Badan itu boleh pertimbangkan hujah kesemua pihak, baik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), KFA, JDT, malah Akhyar sendiri.

“Biar CAS buat keputusan dan kita akan terima kerana itu sahaja tujuan KFA mahu gunakan saluran itu yang memang merupakan salah satu kaedah yang termaktub dalam peraturan,” katanya menurut laporan Utusan.

Datuk Seri Mukhriz membalas kenyataan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mempelawa KFA untuk membawa isu Akhyar Rashid ini ke pengetahuan CAS ataupun Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Tambah Datuk Seri Mukhriz, tujuan KFA membawa perkara ini ke CAS adalah untuk memastikan tiada double standard dan memastikan semua pasukan faham tentang undang-undang bagi memastikan mereka tidak menghadapi nasib sama seperti KFA.

“Kita tiada masalah Akhyar nak ke pasukan lain, tapi cuba bayangkan kalau perkara ini terlepas begitu sahaja, macam-macam lagi akan berlaku bukan hanya kepada KFA tapi pasukan lain,” tambahnya.

Menurut KFA lagi, Akhyar secara terknikalnya masih lagi milik mereka kerana tiada sebarang penebusan yang dilakukan oleh pemain itu sepertimana yang diarahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini.

Baca Juga: Nak Bawa Ke CAS Atau FFA ? Teruskan – TMJ

Leave a Reply