Sumber Gambar: Zimbio

Perpindahan penyerang dari Brazil, Diogo Luis Santo yang menyertai Johor Darul Ta’zim menjadi bahan utama perbincangan peminat bola sepak tanah air. Yang menjadi tanda tanya ialah, berapa harga yang perlu dibayar oleh JDT bagi meyakinkan Diogo untuk meninggalkan Buriram United ?

Menurut laporan Goal.com, meskipun JDT mahupun Buriram tidak mendedahkan nilai perpindahan Diogo, dikhabarkan juara bertahan Liga Super ini membayar sebanyak 5 Juta Bath atau RM6.4 Juta.

Nilai tersebut menjadikan Diogo Luis Santo yang pernah beraksi bersama Olympiacos ini sebagai pemain import paling mahal yang pernah dibeli oleh pasukan dalam saingan Liga Malaysia.

Menurut Goal Malaysia lagi, pada musim 2017 dan musim 2018, ada beberapa pasukan yang mahu menandatangani khidmat Diogo. Namun, Buriram enggan melepaskan penyerang prolifik mereka kerana pasukan yang berminat menawarkan harga yang tidak menepati permintaan Buriram yang ketika itu meminta sebanyak USD2 Juta.

Setahun kemudian, JDT berjaya mendapatkan khidmat penyerang itu dengan harga pengurangan harga sebanyak RM2 Juta dan pemain ini masih dalam keadaan terbaik. Malah lebih baik berbanding dua musim sebelum ini.

Jika dilihat dari segi pencapaian Diogo sepanjang mewakili Buriram selama tiga musim terakhir, harga yang dimaksudkan sememangnya berbaloi. Sepanjang beraksi bersama Buriram, Diogo telah membuat sebanyak 158 penampilan dan menjaringkan 134 gol.

Dalam saingan Thai League 1 musim lalu, Diogo menjaringkan 34 gol dan beliau muncul sebagai penjaring terbanyak musim 2018. Ini bermakna, ratio Diogo ialah beliau menjaringkan satu gol setiap perlawannan Thai League 1.

Selain kemampuan penyerang berusia 31 tahun ini untuk menjaringkan gol, faktor pengalaman yang dimiliki ketika beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) bersama Buriram United menjadi satu lagi faktor mengapa juara lima kali berturut-turut Liga Super itu menandatangani beliau.

Dengan kemasukan Diogo, Harimau Selatan dilihat mempunyai satu pasukan yang lengkap baik dari segi pemain import ataupun pemain tempatan. Kelima-lima pemain import yang diambil mempunyai kualiti serta kemampuan yang tersendiri dan pemain tempatan mereka dilihat sudah bersedia untuk menggegarkan pentas Asia dan Liga Malaysia.

Baca Juga: Diogo Luis Santo Cukupkan Kuota Import JDT

Leave a Reply