Sumber Gambar: Pahang FA

Pasukan PKNS FC dikhabarkan semakin hampir untuk diperkuat oleh dua bekas pemain import yang pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia sebelum ini. Dua pemain import yang dimaksudkan ialah Gabriel Guerra dan Chan Vathanaka.

Menurut pengurus pasukan PKNSFC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, beliau tidak menutup sebarang kemungkinan pihaknya akan mengambil khidmat Vathanaka untuk memperkuat pasukan bagi saingan Liga Malaysia musim ini.

“Kami tidak menolak kemungkinan Chan Vathanaka akan bersama PKNS FC dan mungkin dia akan diuji pada perlawanan pramusim di Singapura minggu ini,” katanya kepada Berita Harian.

Vathanakan beraksi bersama pasukan Pahang dalam saingan Liga Malaysia musim lalu. Namun, beliau hanya mewakili skuad Tok Gajah selama enam bulan dan beliau digantikan dengan bekas pemain import Terengganu FC, Issey Nakajima Farran.

Seorang lagi pemain import yang dikhabarkan bakal memperkuat The Red Ants ialah Gabriel Guerra. Pemain dari Argentina ini bukanlah satu nama asing bagi pasukan PKNS FC. Guerra pernah beraksi bersama PKNS selama dua musim dimana beliau membantu PKNS mara ke perlawanan akhir Piala FA edisi 2016.

Setelah tampil dengan cemerlang bersama PKNS, Guerra mengambi keputusan untuk menyertai Johor Darul Ta’zim II pada 2017. Gabby juga pernah membuat penampilan bersama Johor Darul Ta’zim di pentas Piala AFC.

Selain memantau dua pemain di atas, PKNS dikhabarkan turut memantau beberapa calon lain termasuk pemain skuad kebangsaan Singapura, Gabriel Quak yang sudahpun diuji pada perlawanan persahabatan dengan pasukan Perlis Sabtu lalu.

Setakat ini, kuota pemain import pasukan diisi oleh pemain dari Colombia, Romel Morales Ramirez yang masih dikekalkan daripada skuad musim lalu dan bekas pemain import MISC-Mifa, Kpah Sherman.

Pengurusan pasukan menggugurkan empat pemain import iaitu Bruno Matos, Faris Ramli, Rafael Ramazotti dan Zac Anderson daripada skuad musim lalu.

Jika benar pengurusan pasukan mengambil khidmat Vathanaka dan Guerra, barisan serangan PKNS tidak boleh dipandang rendah kerana kedua-dua pemain ini mempunyai kualiti yang tersendiri. Apatah lagi mereka sudah mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga Malaysia.

Baca Juga: Akram Mahinan Sertai PKNS FC

Leave a Reply