Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor John Paul menyokong penubuhan Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM) dan menyeru agar semua pihak memainkan peranan dalam membantu badan itu menjayakan perancangan ini.

Menurut Datuk Windsor, beliau percaya langkah yang diambil oleh MFL ini mampu untuk mencapai kejayaan sekiranya semua pihak memainkan peranan serta mengambil serius perkara ini.

“Satu usaha yang baik bila ada perubahan atau penambahbaikan dibuat tapi ia harus dilakukan lebih serius dan perancangan teliti.

“Saya fikir bila sesuatu keputusan diambil oleh MFL, ia pasti sudah dikaji dan mengambil kira pandangan semua pihak yang terbabit. Semua pihak perlu main peranan bukan MFL sahaja,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Antara usaha yang dilakukan MFL ketika ini adalah untuk melahirkan pengadil profesional menerusi penubuhan PMOM serta mahu melaksanakan kawalan ekonomi seperti yang diamalkan oleh La Liga dalam membantu pasukan memantapkan pengurusan kewangan.

PMOM ditubuhkan berdasarkan modul Pegawai Perlawanan Profesional Terhad ( PGMOL) yang mengendalikan pengadil Liga Perdana Inggeris manakala kawalan ekonomi dilaksanakan bertujuan untuk mengurangkan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai yang terjadi ketika ini.

Tambah Datuk Windsor, beliau tidak bersetuju sekiranya Liga Malaysia yang ketika ini bertaraf profesional kembali ke taraf amatur sedangkan MFL selaku pengelola liga bertungkus-lumus dalam mencari jalan untuk memantapkan kualiti serta mutu liga.

“Semua orang mahu ke depan, mahu menjadi profesional, takkan Malaysia nak patah balik ke belakang (amatur). Untuk menjadi profesional, pemikiran kita juga kena profesional.

“Untuk menjadi profesional, banyak aspek diambil kira dari segi pengurusan, infrastruktur, pembangunan bukan hanya dikira kejayaan pasukan sahaja.

“Bila ada masalah, kita kena cari jalan penyelesaian. Ambil contoh kalau kita ambil pe­periksaan kalau gagal, kita cari jalan untuk atasi masalah itu, pergi tuisyen ke, takkan kita nak patah balik masuk tadika semula. Ia satu proses dan mengambil masa tapi apa yang penting semua pihak kena serius,” jelasnya.

Baca Juga: FAM Dan FA England Rancang Kerjasama

Leave a Reply