• Ketua jurulatih pasukan Kedah, Aidil Shahrin Sahak menggesa para pemain untuk memperbaiki segala kelemahan sebelum Liga Malaysia 2019 membuka tiranya pada 1 Februari ini bagi memastikan prestasi pasukan dapat ditingkatkan.

    Menurut Aidil, beliau berpuas hati dengan Kedah menamatkan perlawanan pra musim dengan membenam bekas pasukan Aidil iaitu Home United di Stadium Darul Aman Sabtu lalu. Beliau yakin kemenangan ini akan memantapkan lagi motivasi dan persefahaman para pemain.

    “Kemenangan ini merupakan satu motivasi dan penting untuk kerjasama semua pemain. Namun masih ada lagi ruang perlu dipertingkatkan sebelum kita bersedia sepenuhnya untuk menempuh Liga M.”

    “Saya akui kita beraksi dengan hebat dalam beberapa perlawanan pramusim sebelum ini, namun masih belum lagi mencapai tahap maksimum 100 peratus seperti saya rancang dan masih ada ruang untuk terus tingkatkan prestasi.”

    “Saya menuntut pemain agar dapat mencapai tahap kecergasan sepenuhnya barulah kita dapat beri aksi terbaik untuk penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan,” katanya kepada Berita Harian.

    Selain itu, bekas pengendali Home United ini meminta para pemainnya mengekalkan konsistensi kerana perkara itu penting untuk meningkatkan prestasi pasukan. Aidil turut menggesa para penyokong setia untuk terus memberikan sokongan yang padu kepada pasukan.

    “Konsisten itu penting bagi saya dan mahu Kedah menunjukkan aksi yang konsisten dalam tempoh 90 minit seperti mana pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Pahang dan lain-lain yang memiliki tahap permainan tinggi.

    “Kita perlukan sokongan penyokong sebagai ‘pemain ke-12’ yang dapat menyuntik motivasi tambahan kepada pemain yang bakal menempuh ujian pertama apabila berdepan PKNP FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada 2 Februari nanti,” tambahnya.

    Juara Piala FA 2017 ini akan menjadi antara pasukan yang dicanang untuk mencabar pasukan besar lain dalam merebut takhta Liga Super daripada tangan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim.

    Dengan barisan pemain baru terutamanya pemain import yang dibawa masuk, tidak mustahil Kedah mampu untuk memenangi sekurang-kurangnya satu piala yang dipertandingkan musim ini.

    Baca Juga: Zaquan Pemimpin Yang Kedah Perlukan – Aidil Shahrin

    Leave a comment

    Your email address will not be published.