• Tinggal tiga hari saja lagi untuk tirai Liga Malaysia musim 2019 dibuka secara rasminya. Rata-rata pasukan sedang rancak membuat persiapan dengan pengenalan jersi baru yang akan dipakai oleh pemain dan pas bermusim yang baru untuk para peminat tegar. Namun semua ini tidak dilakukan oleh skuad ibu kota iaitu pasukan Kuala Lumpur. Apa sudah jadi dengan mereka ?

    Kuala Lumpur antara pasukan yang sehingga saat ini masih belum membuat sebarang pengumuman sama ada mereka mahu menggunakan jersi baru ataupun kekal menggunakan jersi daripada musim lalu. Perkara sama juga berlaku dalam perihal pas bermusim.

    Apa yang menyebabkan perkara ini berlaku ? Menurut pandangan penyokong The City Boys, ianya kerana kongres Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang sehingga kini masih belum dijalankan.

    Sebelum ini, Pesuruh Jaya Sukan (PJS), Datuk Zaiton Othman menagguhkan kongres KLFA kerana ada desakan daripada Datuk Rashid Hasnon yang tidak berpuas hati apabila beliau hanya menerima 12 berbanding 16 pencalonan peringkat awal.

    PJS kemudiannya bersetuju dengan menyatakan penangguhan harus dilakukan bagi memberi ruang kepada proses siasatan lanjut dan pendengaran dilakukan.

    Setelah PJS membuat keputusan tersebut, KLFA menerusi Naib Presidennya, Datuk Kamaruddin Hassan tidak berpuas hati dan mahu membawa perkara ini ke pengetahuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan meminta mereka menyiasat integriti dan urus tadbir PJS yang dianggap lemah oleh KLFA.

    Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa kemudiannya menegaskan pihaknya tidak pernah menggunakan sebarang unsur paksaan dalam pemilihan EXCO bagi penggal 2018-2022. Tambah Nokman, pihaknya juga menjalankan kerja mengikut statut atau peraturan mesyuarat yang ada.

    Penangguhan kongres ini semestinya membuatkan KLFA berada dalam keadaan tergantung. Yang terkena tempiasnya sudah pasti pasukan Kuala Lumpur. Setakat ini, skuad ibu kota hanya menjalani siri perlawanan pra musim di sekitar Lembah Klang.

    Perkara ini memberikan indikasi yang jelas bahawa persatuan tiada bajet yang cukup bagi membolehkan pasukan untuk sekurang-kurangnya menjalani perlawanan pra musim di negara jiran seperti Indonesia, sama seperti yang dilakukan musim lalu ketika mereka bertandang ke Sleman.

    Mengapa persatuan tidak mempunyai bajet yang mencukupi ? Menurut seorang penggemar tegar skuad ibu kota, Saudara @Hazeemdin, tampuk kepimpinan yang masih belum jelas serta krisis yang berlaku dalam KLFA menyebabkan perkara ini berlaku.

    Jika ada masalah besar berlaku dalam persatuan, maka penaja enggan untuk menaja pasukan sekaligus memberikan suntikan dana untuk digunakan oleh pasukan. Al hasilnya, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh pasukan itu sendiri.

    Tambah @Hazeemdin lagi, jika perkara ini berlarutan sehingga pertengahan musim ini, maka peluang skuad ibu kota untuk kekal dalam saingan Liga Super dilihat tipis. Mungkin Kuala Lumpur akan bergelut di peringat bawahan Liga.

    Apa yang pasti, baik KLFA mahupun PJS perlu segera mencapai kata sepakat agar kongres dapat dijalankan dan mereka mempunyai struktur kepimpinan yang jelas. Ini bagi membolehkan pihak penaja berminat untuk menaja skuad ibu kota dan para pemain boleh menumpukan perhatian sepenuhnya di atas padang.

    Baca Juga: MFL, FAM Tubuhkan Badan Bebas Pengadil

    Leave a comment

    Your email address will not be published.