• Pengurusan baru Terengganu City FC bersetuju untuk melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai musim lalu, dengan syarat mereka dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini.

    Pihak pengurusan pasukan akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) minggu ini bagi membincangkan beberapa isu mengenai status pasukan setelah pengurusan lama TCFC sudah bersetuju menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada pengurusan baharu untuk mengendalikan operasi kelab tersebut.

    Pengurus TCFC, M Rezal Abu Bakar berkata jika FAM bersetuju dengan syarat yang diletakkan oleh oleh pihaknya, maka gaji pemain dan pegawai pasukan akan dilunaskan secepat yang mungkin.

    “Susulan itu, kami membuat permohonan kepada FAM untuk mengadakan perbincangan lebih lanjut mengenai isu ini serta status penyertaan TCFC dalam saingan Liga Perdana. Ia dijangka berlangsung esok atau lusa.

    “Kita akan membayar semua tunggakan gaji pemain dan jurulatih dalam masa terdekat selepas perjumpaan itu. Kami juga kasihan dengan nasib mereka selepas tidak dibayar gaji walaupun menjuarai Piala FAM musim lalu.

    “Jika pada sebelah pagi TCFC disahkan boleh beraksi, penaja akan melunaskan semua tunggakan gaji pada sebelah petang. Jika permohonan tidak dilayan dan ditolak FAM atau MFL (Liga Bolasepak Malaysia), kami tidak akan selesaikan tunggakan gaji mereka.

    “Ini kerana, kami sudah sedaya upaya mahu menolong mereka yang dianiaya itu selepas diberi kuasa penuh oleh pengurusan lama, semalam,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Sebelum ini, pengurusan baru TCFC bersetuju untuk melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai yang berjumlah lebih RM900,000. Tetapi mereka meletakkan syarat agar diberikan kuasa penuh oleh pengurusan lama.

    Rezal turut mendedahkan pengurusan baharu tidak diberikan kuasa sepenuhnya oleh pengurusan lama meskipun mereka mengambil alih pada awal 2018.

    “Kami boleh jelaskan semua tunggakan gaji pemain dan jurulatih TCFC (Terengganu City FC) berjumlah lebih RM900,000, tetapi dengan syarat pengurusan lama kelab mesti memberi kuasa penuh kepada pengurusan baharu.

    “Kami tidak berniat untuk menganiaya bekas pemain dan jurulatih, tetapi kami (pengurusan baharu) yang mengambil alih kelab itu sejak awal tahun 2018 tidak diberikan kuasa penuh oleh pengurusan lama.

    “Jadi, bagaimana kami mahu menguruskan kelab itu secara maksimum, sedangkan sebelum ini pengurusan lama sudah menyerahkan kelab itu kepada barisan pengurusan baharu dan kami sudah berbelanja jutaan ringgit.

    “Kami sudah mengadakan perbincangan dengan pengurusan lama berkenaan berkaitan isu itu, tetapi sehingga kini, tidak ada kata putus menyebabkan pemain menjadi mangsa,” katanya.

    Baca Juga: FAM Gantung Penyertaan Pasukan “Bermasalah”

    Leave a comment

    Your email address will not be published.