• Penyerang import Pahang, Dickson Nwakaeme berazam untuk membantu skuad Tok Gajah untuk memenangi kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

    Pemain yang digelar ‘Orang Besi’ ini kembali beraksi bersama Pahang setelah kali terakhir beliau mewakili pasukan itu pada musim 2015. Dickson bukan hanya kembali untuk memperkuatkan jentera serangan pasukan namun beliau mempunyai misi yang tersendiri iaitu mahu memenangi tiga kejuaraan atau treble musim ini.

    “Detik paling manis yang saya tidak akan lupa sampai bila-bila adalah membantu Pahang menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menjulang Piala Malaysia pada 2014.

    “Saya ke sini untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan Tok Gajah kerana ini kampung saya dan saya perlu buktikan kepada semua penyokong,” katanya kepada Kosmo semalam.

    Menurut Dickson lagi, tidak mustahil Pahang memenangi treble iaitu Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA musim ini jika semua pemain menampilkan aksi terbaik mereka dan beraksi secara konsisen.

    “Saya dan Ze Love akan mengepalai jentera serangan dan mengharapkan bantuan daripada rakan-rakan sepasukan untuk manfaatkan peluang di depan gol lawan.

    Dickson turut merasakan pasukan kali ini lebih mantap berbanding musim 2014 dan 2015 malah dia yakin dengan kemampuan ketua jurulatih pasukan, Dollah Salleh untuk mengendalikan semua pemain dengan baik.

    “Saya juga perlu elak daripada kecederaan serius agar tragedi lalu tidak berulang apabila terpaksa berehat panjang musim lalu,” tambah Dickson.

    Selain membawa masuk Dickson Nwakaeme, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) juga membawa masuk penyerang dari Brazil yang pernah beraksi bersama Neymar, Ze Love bagi memperkukuhkan jentera serangan. Gandingan Ze Love dan Dickson bakal menjadi taruhan Pahang untuk merobek gawang lawan.

    Bagi memantapkan lagi pasukan secara keseluruhan, Pahang turut diperkuatkan dengan dua lagi pemain import baharu iaitu pemain muda dari Indonesia, Saddil Ramdani dan pemain pertahanan dari Perancis, Herold Goulon.

    Hanya seorang saja pemain yang dikekalkan daripada skuad musim lepas iaitu pemain versatile dari Singapura, Safuwan Baharuddin.

    Baca Juga: Impak Dickson Nwakaeme Kepada Pahang

    Leave a comment

    Your email address will not be published.