• Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) optimis untuk melanjutkan kontrak pengendali pasukan senior kebangsaan, Tan Cheng Hoe. Kontrak Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih telah tamat pada 1 Januari lalu.

    Pada masa yang sama, FAM turut menegaskan segala perancangan yang ditetapkan oleh Cheng Hoe akan menentukan hala tuju pasukan negara pada masa akan datang. Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Cheng Hoe dalam masa terdekat namun masa depannya akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan.

    “Kami akan mengadakan mesyuarat dengan jawatankuasa pasukan kebangsaan yang akan bertindak meluluskannya. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kami gembira dengan prestasinya, jadi diharapkan perbincangan dengannya akan mencetuskan perancangan untuk melangkah ke peringkat seterusnya bagi skuad negara.

    “Kami juga mahu mendengar perancangannya kerana 2019 adalah tahun penting bagi kelayakan Piala Asia dan Dunia. Jika kami bergerak bersama, perancangannya untuk aksi kelayakan akan memastikan peningkatan seperti di Piala AFF apabila beliau berjaya membentuk pasukan disusuli dengan keputusan yang baik,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Tan Cheng Hoe sebelum ini berjaya memenuhi Petunjuk Utama Prestasi (KPI) yang telah ditetapkan ketika beliau dilantik sebagai pengendali skuad senior dimana Malaysia berjaya melangkah ke perlawanan akhir saingan Piala AFF Suzuki 2018.

    Bulan lalu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi memberi bayangan kontrak bekas pengendali Kedah ini akan dilanjutkan berdasarkan peningkatan yang ditunjukkan oleh pasukan negara dalam beberapa siri perlawanan persahabatan dan kejohanan Piala AFF.

    Para peminat juga optimis dengan kemampuan Tan Cheng Hoe untuk terus mengendalikan pasukan senior kebangsaan. Pengendali berusia 50 tahun ini berjaya mengubah skuad Harimau Malaya daripada satu “malapetaka” ketika dibimbing oleh “The Professor”, Nelo Vingada kepada pasukan yang digeruni di rantau Asia Tenggara.

    Tahun ini, Malaysia akan berdepan dengan dua peringkat kelayakan iaitu kempen kelayakan untuk temasya Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 yang dijangka akan bermula pada pertengahan tahun ini.

    Baca Juga: Tan Cheng Hoe Berstatus Ejen Bebas ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.