• Bekas pemain tengah Kedah, Liridon Krasniqi dikaitkan dengan perpindahan ke Johor Darul Ta’zim apabila pemilik kelab tersebut, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil gambar bersama Liridon dan kemudiannya memuat naik ke media sosial Instagram milik baginda.

    Beberapa hari lalu, Liridon memberi bayangan seolah-olah beliau akan kembali beraksi dalam saingan Liga Malaysia dimana memuat naik gambar beliau berada di dalam pesawat dan emoji bendera Malaysia turut ditambah dalam gambar tersebut.

    Setelah kontrak Liridon bersama Kedah tidak disambung, pemain kelahiran Kosovo ini menjadi ejen bebas dan masa depan beliau menjadi tanda tanya dikalangan peminat bola sepak tanah air. Setelah beraksi selama tiga setengah musim bersama skuad Hijau Kuning, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengambil keputusan untuk menggantikan beliau.

    Meskipun telah memenangi beberapa kejuaraan dalam Liga Malaysia antaranya Piala Malaysia 2016 dan Piala FA 2017, namun peralihan kuasa dalam tampuk kepimpinan KFA menyaksikan mereka mahu pasukan Kedah melangkah ke saingan musim 2019 dengan wajah baru, khususnya dari segi pemain import.

    Pada masa yang sama, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah meletakkan Liridon dalam senarai pemain yang akan dijadikan sebagai pemain naturalisasi bagi memperkuatkan pasukan kebangsaan. Jadi, Matdon sememangnya sedang mencari pasukan dalam Liga bagi membolehkan beliau mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.

    Jika benar Liridon bakal beraksi bersama Johor Darul Ta’zim bagi saingan musim ini, di sini ada dua senario yang dilihat bakal terjadi. Senario yang pertama, Liridon tetap beraksi dengan status pemain import dan beliau akan beraksi bersama Johor Darul Ta’zim II dalam saingan Liga Perdana.

    Ini kerana dalam pasukan utama JDT ketika ini, kelima-lima slot pemain import sudahpun diisi. Liridon boleh beraksi bersama JDT II terlebih dahulu dan beliau boleh beraksi bersama pasukan utama jika mana-mana pemain import gagal untuk menampilkan aksi terbaik.

    Senario yang kedua ialah Liridon terus didaftarkan sebagai pemain tempatan. Dengan ini, beliau tidak perlu mengganggu kuota pemain import.

    Baca Juga: Syazwan Andik Sah Kembali Ke JDT

    Leave a comment

    Your email address will not be published.