• Pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak penetapan gaji siling dan mereka sudah memiliki ramuan untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain.

    Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama La Liga Sepanyol pada Januari 2018, senario bola sepak negara dijangka berubah sepenuhnya dengan menggunakan konsep La Liga sebagai wajah baharu Liga Malaysia.

    “Kita awal-awal lagi sudah mengumumkan mengenai kerjasama dengan La Liga bagi meningkatkan mutu bola sepak Liga M dan ia memerlukan masa kerana masih di peringkat kajian.

    “Kemungkinan kita umumkan pada pertengahan musim 2019 dan akan mula dikuatkuasakan pada 2020 atau 2021. Saya percaya apabila sistem baharu liga dilaksanakan nanti, pelbagai isu membabitkan soal tunggakan gaji dan pelesenan kelab boleh diatasi dengan menggunakan kaedah ini.

    “Tapi sebelum itu saya harap semua pihak bersabar dan jangan cepat melompat menyalahkan mana-mana pihak. Kita (MFL) sentiasa memantau perkembangan pasukan dan akan mencari jalan terbaik untuk mengatasi apa jua masalah yang dialami pasukan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Menurut peraturan artikel 38 yang tertera dalam laman web La Liga, kesemua pasukan harus menyediakan perbelanjaan awal semusim dan ia akan diputuskan oleh badan pentadbir La Liga sebelum diluluskan, dengan kelab perlu berbelanja mengikut had kewangan yang ditetapkan.

    Perbelanjaan termasuk penyediaan skuad utama, skuad simpanan, pembangunan akademi dan lain-lain skuad yang berada di bawah naungan kelab.

    Isu penetapan gaji siling timbul apabila kebanyakkan pasukan dalam saingan Liga Malaysia berdepan dengan masalah kewangan yang serius sehingga ada diantaranya terpaksa dibubarkan.

    Tambah Kevin, penarikan diri pasukan yang berdepan dengan masalah kewangan asalah satu perkara yang baik bagi Liga Malaysia sendiri.

    “Bagi saya pasukan yang tarik diri itu sebenarnya satu kejayaan di MFL dan bukannya kegagalan. Sebab selepas wujudnya peraturan pelesenan kelab yang kita perkenalkan dua atau tiga musim lalu, kita berjaya mengesan banyak pasukan gagal memenuhi kriteria seperti ditetapkan,” kata Kevin.

    “Jadi, untuk apa kita simpan pasukan yang bermasalah ini. Baik kita bagi pada pasukan yang betul-betul serius dan mahu naikkan liga kita,” tambhanya.

    Baca Juga: PFAM Tidak Setuju Penetapan Gaji Pemain

    Leave a comment

    Your email address will not be published.