• Pasukan Pahang tidak terasa hati tentang pasukan yang dipilih oleh bekas pemain tengah Kedah, Liridon Krasniqi, walaupun kedua-dua pihak sebelum ini telah mengadakan perbincangan lisan.

    Pemain Import Terbaik 2016 itu sebelum ini mencetuskan tanda tanya mengenai masa depan beliau setelah beliau memuat naik gambarnya bersama pemilik Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Instastory miliknya.

    Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata pihaknya tidak boleh menghalang tentang pasukan mana yang dipilih oleh Liridon bagi saingan musim 2019 meskipun mereka pernah mengadakan perbincangan dengan pemain berusia 27 tahun itu.

    “Walaupun ada perbincangan secara lisan, terpulang kepada pemain itu. Kalau dia buat keputusan untuk bermain dengan kelab lain, kami tak boleh buat apa-apa sebab itu pilihan pemain.

    “Kalau dia sudah rasmi menyertai kelab lain, mungkin peminat tidak lagi menaruh harapan dan kita doakan supaya dia berjaya.

    “Tugas kami adalah untuk melihat ke depan dan mencari pemain setanding dia atau lebih baik lagi. Malah, saya juga percaya dengan taktikal dan pengalaman jurulatih Dollah Salleh dalam membuat pilihan pemain,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Liridon dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Pahang setelah beliau memuat naik gambar gajah di Instastory milik beliau beberapa minggu yang lalu.

    Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh menambah beliau sudah mempunyai beberapa calon pemain import yang akan diuji seterusnya dinilai sama ada layak untuk beraksi bersama juara Piala FA 2018 itu atau sebaliknya.

    “Anda pun dah tahu, media semalam dah siar, kita dapat tahu bahawa Mat Don akan pergi ke JDT, itu yang saya tahu setakat ini. Kita bukan tiada calon, kita masih ada lagi beberapa pemain dalam perhatian.

    “Cuma kita ada agak lewat kerana berdepan beberapa kekangan termasuk daripada segi menguruskan visa pemain. Tapi kita sedang berusaha untuk selesaikan secepat mungkin dan pastikan sebelum bermula liga, kita dapat pemain itu,” tambahnya.

    Setelah mewakili Kedah selama tiga setengah musim, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak Liridon.

    Baca Juga: Mohamadou Sumareh Sah Berstatus Pemain Tempatan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.