• Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) menegaskan mereka tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam persatuan itu yang terlibat dengan gejala rasuah.

    Presiden PBNS, Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri berkata PBNS akan mengenakan tindakan dan tidak teragak-agak untuk menyingkirkan mana-mana pemain dan pegawai pasukan jika terlibat dengan gejala tidak bermoral itu.

    “Kita bekerjasama baik dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dengan menempatkan pegawai (PBNS dan SPRM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman dan ve­nue lain dari semasa ke semasa untuk memantau perlawanan bola sepak membabitkan pasukan negeri ini.

    “Kita menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) untuk memastikan semua pegawai dan pemain pasukan Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia kita tanpa ada unsur-unsur ra­suah atau perkara yang boleh membawa kepada rasuah,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

    Selain menegaskan PBNS tidak akan berkompromi mengenai isu rasuah, Tunku Syed Razman juga mengingatkan para pegawai dan pemain agar akur dengan perjanjian IBR yang ditandata­ngani itu dan mereka hendaklah menjauhkan diri daripada segala aspek dalam rasuah.

    Musim ini, Negeri Sembilan beraksi dalam saingan Liga Perdana. Setelah semusim beraksi dalam saingan Liga Super dimana mereka menggantikan pasukan T-Team (Terengganu FC II), Negeri Sembilan terpaksa menelan hakikat pahit dimana mereka terpaksa turun takhta dan mewarnai saingan Liga Perdana.

    Juara Liga Super musim 2006 ini gagal untuk menampilkan persembahan yang konsisten setelah menukar ketua jurulatih sebanyak 3 kali dalam satu musim. Selain itu, pemain import yang tidak menjadi turut menjadi faktor utama mereka gagal mengekalkan status Liga Super.

    Baca Juga: PMOM Kurangkan Kesilapan Pengadil – Yusoff Mahadi

    Leave a comment

    Your email address will not be published.