• Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berpendapat penetapan gaji siling bukanlah jawapan bagi menangani isu gaji tertunggak yang dihadapi oleh beberapa pasukan Liga Malaysia ketika ini.

    Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata penetapan gaji siling adalah satu pemikiran yang baik bagi mengelakkan pasukan berbelanja lebih dalam mengambil pemain terutamanya pemain import. Namun, perkara itu bukanlah jawapan tepat kepada permasalahan yang berlaku ketika ini.

    “Saya faham dan saya juga bimbang dengan senario bola sepak kita. Ada saja pasukan gagal membayar gaji dan ada juga yang terpaksa tutup pasukan, gara-gara masalah kewangan, di mana perbelanjaan operasi lebih tinggi daripada dana yang diperoleh.

    “Tapi nak wujudkannya (gaji siling) pun tak boleh sebab ia akan mematikan semangat dan motivasi pemain. Sudah tentu bila gaji kita tinggi, pemain akan bermain bersungguh-sungguh sekali gus dapat hasilkan persaingan sihat antara pemain yang akhirnya akan membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang mantap.

    “Sebab itu, kita (FAM) dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) akan menggunakan konsep La Liga di sini (Liga-M). Maknanya, selepas ini semua pasukan perlu berbelanja mengikut kemampuan pasukan dan jika ada pasukan yang cuba membeli di luar kemampuan kita akan hukum atau denda pasukan berkenaan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Kelmarin, pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) turut menyuarakan mereka tidak bersetuju dengan penetapan gaji siling kerana MFL sudah mempunyai formula untuk menangani isu tunggakan gaji pada masa akan datang.

    MFL mahu menggunakan konsep yang dipraktikan oleh La Liga dan perkara ini dijangka akan mula digunakan pada tahun 2020 atau 2021. Tambah Datuk Yusof, beliau yakin bola sepak Malaysia tidak akan berdepan dengan tunggakan gaji apabila modul baru digunakan.

    “Saya yakin apabila liga kita berubah nanti, kita tidak akan lagi mendengar isu tunggakan gaji dan penarikan diri pasukan. Perkara paling penting, kita mahu nilai komersial liga tempatan melonjak dengan semua pasukan akan meraih ‘laba’ cukup lumayan nanti.

    “Sekarang semua pasukan Liga Super menerima RM3 juta hasil hak siaran langsung. Kita harap pada musim mendatang, jumlah itu akan meningkat ke RM6 juta hingga RM8 juta. Apapun, kita kena bersabar dan beri kerjasama sepenuhnya kepada MFL untuk mengubah wajah liga kita,” tambahnya.

    Baca Juga: Penarikan Diri Pasukan Petanda Positif – KAFA

    Leave a comment

    Your email address will not be published.