• Ketua jurulatih pasukan Selangor, B.Sathianathan membidas pengurusan lama pasukan dimana beliau menyifatkan mereka gagal untuk menjalankan tugas dengan baik sehingga pasukan bimbingannya menerima kesan yang tidak sihat.

    Sehingga saat ini, Selangor masih belum dapat beraksi di gelanggang keramat mereka iaitu Stadium Shah Alam di mana stadium itu sedang menjalani proses penambahbaikan.

    Selain itu, Sathia turut kecewa kerana tiada kemudahan seperti pusat latihan yang tetap dan bilik persalinan yang sempurna.

    “Selangor pasukan yang paling berjaya di negara ini sejak 40 tahun lalu masih lagi tidak ada pusat latihan sendiri. Bilik persalinan latihan pun kadang-kadang satu kena kongsi ramai dan ia sungguh menyedihkan buat pasukan seperti Selangor.

    “Cuba bayangkan apabila ada pemain import datang ke Selangor dan dengar perkara hebat-hebat pasal pencapaian pasukan, tapi bila tengok bilik persalinan latihan mesti dia pun tak jadi nak main.

    “Belum lagi cerita kalau saya nak berlatih di Stadium Shah Alam. Mereka (pengurusan stadium) kata sedang melakukan penambahbaikan di stadium, tolonglah liga (Liga Super) dah nak mula takkan baharu sekarang nak buat semua itu.

    “Bila saya cakap pasal JDT (Johor Darul Ta’zim) orang cakap saya bodek dan macam-macam. Padahal memang betul kemudahan di sana memang terbaik sebab itu ramai pemain mahu ke sana.

    “Ini semua silap pengurusan lama yang menyebabkan kami terpaksa menempuh segala masalah ini. Tapi saya percaya dengan pengurusan baharu di bawah kepimpinan Raja Muda Selangor, semuanya akan diperbetulkan secara berperingkat,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Sudah dua musim dalam saingan Liga Super Selangor tidak menjadikan Stadium Shah Alam sebagai markas utama kerana masalah antara pengurusan lama pasukan dan juga kerajaan negeri.

    Juara 33 kali Piala Malaysia ini baru dibenarkan menggunakan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang ‘home’ mereka pada saingan Piala Malaysia 2018 setelah Tunku Amir Shah dilantik sebagai Presiden FAS.

    Sathia menambah beliau mahukan penyokong untuk memberikan sokongan padu kepada pemain apabila Liga Malaysia 2019 membuka tirainya pada 1 Februari nanti.

    “Dulu masa saya jadi jurulatih di ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan FELDA United, kerja saya agak sukar kerana sentiasa perlu naikkan motivasi pemain.

    “Pengalaman saya di Kelantan dulu, pemain cukup bersemangat dan motivasi tinggi kerana mendapat sokongan penyokong yang ramai. Saya percaya di Selangor akan berlaku perkara sama, dan pemain akan bermotivasi apabila penyokong memenuhi stadium,” tambahnya.

    Baca Juga: Selangor Sokong Cadangan Kuota Perbelanjaan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.