• Pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyatakan pasukan Perlis menepati segala kriteria yang ditetapkan dan mereka layak untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, pihaknya tidak sesuka hati memberi muka kepada pasukan Perlis untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana dan mereka telah membuat satu pemeriksaan yang rapi sebelum mengambil keputusan tersebut.

    “Ada pihak kata kami berlembut dengan Perlis tapi pada saya persepsi itu tidak betul. Jika sebelum ini kami mendenda pasukan yang melakukan kesalahan sebanyak RM500,000, kali ini kami akan ‘saman’ Perlis lebih tinggi iaitu RM1 juta kalau tak patuhi peraturan yang ditetapkan.

    “Maksud saman di sini, kami akan tahan geran tahunan mereka sebanyak RM1 juta jika mereka gagal melangsaikan segala hutang dalam tempoh 60 hari. Duit geran itu akan kami gunakan untuk menyelesaikan bayaran hutang berkenaan. Jadi kami tidak ambil mudah dengan membenarkan Perlis menyertai Liga Perdana.

    “Ini adalah antara cara untuk kami membantu menyelesaikan hutang gaji pemain dan pegawai Perlis tertunggak sebelum ini. Kalau kami tidak membenarkan Perlis menyertai Liga Perdana, adakah masalah itu akan selesai?, kata Kevin menurut laporan Berita Harian.

    Sebelum ini, ada pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan MFL membenarkan Perlis beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan di samping dua lagi pasukan iaitu UKM FC dan Terengganu FC II.

    Ini kerana Perlis berdepan dengan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan yang serius dan risau perkara tersebut akan berulang kembali.

    Tambah Kevin, pihaknya turut membuat kajian rapi mengenai pasukan yang dicadangkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan melihat sama ada mereka menepati kriteria yang ditetapkan.

    “Dua lagi pasukan yang layak ke separuh akhir Piala FAM PJ Rangers dan MOF sudah tarik diri, jadi kita pilih calon pasukan lain yang berminat mengemukakan permohonan dan Perlis kita lihat mempunyai persiapan pasukan yang baik serta perancangan untuk menstabilkan kewangan.

    “Pada saya isu pemilihan Perlis tidak perlu diperbesarkan kerana ia hanya dicetuskan oleh sesetengah pihak yang tidak senang dengan kewujudan MFL dari awal,” tambahnya.

    Baca Juga: Zafuan Azeman Kembali Sertai Perlis?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.