• Pasukan yang dinaikkan pangkat ke Liga Super musim ini, MISC-Mifa telah menukar nama pasukan dan kini mereka dikenali dengan nama Petaling Jaya City FC. Penukaran nama ini susulan pengambilalihan yang dilakukan oleh QI Group.

    QI Group, menerusi anak syarikat mereka, QNET akan menjadi penaja utama pasukan bermula musim ini. Untuk makluman, QNET merupakan rakan kongsi kepada pasukan berpengkalan di England sekaligus juara bertahan Liga Perdana Inggeris iaitu Manchester City.

    Bukan sahaja menggunakan nama baru, malah PJ City FC turut menukar logo mereka dengan menggunakan warna biru muda sebagai warna rasmi pasukan dalam kancah Liga Malaysia musim 2019. Warna biru muda turut digunakan sebagai warna jersi home mereka.

    Pada majlis pengenalan yang diadakan semalam, QI Group telah menetapkan sasaran untuk PJ City iaitu menduduki kelompok lima terbaik. PJ City akan dibimbing oleh bekas ketua jurulatih Selangor, K.Devan. Devan melaungkan keyakinan pasukan bimbingannya mampu untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

    “Sebagai jurulatih, saya yakin kami boleh capai sasaran itu kerana pada musim lepas kami lakukan dengan baik (dalam Liga Perdana) dengan peruntukan yang kecil. Musim ini, dengan peruntukan lebih besar dan pemain yang ada, kami boleh capai sasaran itu,” kata K. Devan menurut laporan FoxSport Asia.

    Petaling Jaya City FC kekal menggunakan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai markas mereka dan menjadikan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai lokasi sesi latihan pasukan.

    Pada masa yang sama, Pengerusi Eksekutif QI Group, Datuk Seri Vijay Eswaran tidak mahu membeli kejayaan segera dengan menabur wang besar dalam pasukan bagi membawa pemain ternama seperti yang dilakukan oleh Johor Darul Ta’zim pada awal penubuhannya.

    “Sukan, khususnya bola sepak mempunyai unsur hebat dalam menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang. Kami memilih MIFA kerana mereka mempunyai rekod yang bagus dan mereka mencipta kejayaan dengan belanjawan yang kecil sebelum ini.

    “Kami tidak bercadang untuk berbelanja besar ke atas pemain kerana wang tidak menjanjikan kejayaan, Kami akan fokuskan kepada pembangunan di akar umbi serta mewujudkan pasukan Malaysia yang bersatu untuk mengembalikan era kegemilangan pasukan kebangsaan pada tahun 70-an.

    “QNET merupakan rakan kongsi Manchester City sejak 2014, sebab itu kami memilih ‘city’ pada nama pasukan. Malah warna jersi (biru muda) juga sama. QNET juga menaja Persekutuan Hoki Malaysia,” tambahnya.

    Baca Juga: MISC-Mifa Dinaikkan Pangkat Ke Liga Super 2019

    Leave a comment

    Your email address will not be published.