• Pengurus pasukan Selangor, Datuk Abdul Rauf Ahmad memberi jaminan Red Giants akan menggunakan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang home sebelum Liga Malaysia membuka tiranya pada 1 Februari nanti.

    Menurut Datuk Rauf, pasukannya akan mendapat kebenaran untuk beraksi di Shah Alam sekurang-kurangnya pada 1 Februari ini. Selangor akan membuka tirai Liga Super dengan menentang pasukan Felda United pada 3 Februari.

    “Bagaimanapun, kita akan gunakan Stadium Shah Alam untuk latihan sebelum perlawanan pertama berdepan Felda United pada 3 Februari nanti.

    “Kita faham sekarang masih ada penambahbaikan tetapi kita tetap memasang harapan yang tinggi untuk gunakan ve­nue rasmi tersebut.

    “Selewat-lewatnya 1 Februari depan skuad Gergasi Merah boleh menggunakan Stadium Shah Alam.

    “Itu adalah jangkaan paling lewat sebaliknya jika lebih awal kami masih tidak dapat pastikan bila,” katanya kepada Kosmo.

    Sebelum ini, ketua jurulatih Selangor, B.Sathianathan kecewa kerana sehingga hari ini, pasukan bimbingannya masih belum beraksi di Stadium Shah Alam, baik mengadakan perlawanan pra musim atau menjalani sesi latihan.

    Sathia menyalahkan pengurusan lama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dimana kesilapan mereka telah menyebabkan pasukan Selangor terkesan.

    “Selangor pasukan yang paling berjaya di negara ini sejak 40 tahun lalu masih lagi tidak ada pusat latihan sendiri. Bilik persalinan latihan pun kadang-kadang satu kena kongsi ramai dan ia sungguh menyedihkan buat pasukan seperti Selangor.

    “Cuba bayangkan apabila ada pemain import datang ke Selangor dan dengar perkara hebat-hebat pasal pencapaian pasukan, tapi bila tengok bilik persalinan latihan mesti dia pun tak jadi nak main.

    “Belum lagi cerita kalau saya nak berlatih di Stadium Shah Alam. Mereka (pengurusan stadium) kata sedang melakukan penambahbaikan di stadium, tolonglah liga (Liga Super) dah nak mula takkan baharu sekarang nak buat semua itu.

    “Ini semua silap pengurusan lama yang menyebabkan kami terpaksa menempuh segala masalah ini. Tapi saya percaya dengan pengurusan baharu di bawah kepimpinan Raja Muda Selangor, semuanya akan diperbetulkan secara berperingkat,” katanya.

    Baca Juga: Wan Zack Haikal Perlu Jalani Pembedahan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.