• Pemain pertahanan pasukan Melaka United, Shukor Adan berazam mahu membawa pasukannya beraksi dalam saingan Piala AFC pada masa akan datang.

    Bekas ketua pasukan skuad kebangsaan ini antara pemain bintang yang menyertai Melaka United bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan dan beliau mahu mencapai kejayaan apabila beraksi di negeri kelahirannya.

    “Bila saya dan pemain-pemain baharu datang ke sini (Melaka United) kami datang bukan hanya untuk ‘makan gaji’ tetapi bersama pasukan ini kita mahu mendapatkan kejayaan yang boleh dibanggakan.

    “Dengan sokongan penyokong, kita sudah pasti tidak mahu menghampakan harapan mereka, kami akan berusaha untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir dan menempatkan kedudukan pasukan ini dalam kelompok terbaik,” katanya menurut laporanUtusan.

    Tambah pemain berusia 39 tahun ini, para pemain kini memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri antara satu sama lain dan berharap para peminat tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada pasukan pada peringkat permulaan ini.

    Menurut Shukor, perihal ketua pasukan sepatutnya tidak dijadikan isu dan siapa saja yang dipilih oleh ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan perlu dihormati kerana setiap pemain mempunyai kualiti dan keistimewaan yang tersendiri.

    “Sama ada Safiq (Rahim), Razman (Roslan) atau saya itu tidak perlu dijadikan isu, semua memiliki kelebihan masing-masing, apa yang penting kita lakukan adalah memikirkan bagaimana cara untuk naikkan pasukan ini,” tambah bekas ketua pasukan Felda United ini.

    Musim hadapan Melaka United bakal diperkuat oleh beberapa pemain yang mempunyai pengalaman luas dalam saingan Liga Malaysia. Nama seperti Razman Roslan, Safiq Rahim dan Shukor Adan sendiri sudah pasti bakal menjadi nadi utama di bahagian pertahanan dan juga tengah.

    Jika melihat kepada barisan pemain, sasaran Piala AFC sememangnya boleh dicapai. Apa yang perlu dilakukan ialah mereka perlu mengekalkan momentum sebaik meraih kemenangan bagi memastikan peluang untuk beraksi di pentas Asia tidak diragut oleh pasukan lain yang sama-sama mempunyai kelebihan dan kualiti.

    Baca Juga: Safiq Rahim Yakib MU Mampu Menangi Trofi

    Leave a comment

    Your email address will not be published.