• Bekas pemain skuad kebangsaan, Datuk Jamal Nasir percaya Tan Cheng Hoe merupakan individu yang tepat untuk mengendalikan pasukan kebangsaan.

    Datuk Jamal mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) segera membuat keputusan mengenai masa depan Cheng Hoe agar isu ini tidak menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

    “Seperti saya kata sebelum ini, beri masa tiga tahun untuk menilai prestasi Cheng Hoe sebagai jurulatih. Dari segi corak permainan saya lihat adalah baik dan teratur cuba beberapa posisi seperti pertahanan dan serangan perlu diperbaiki.

    “Sepanjang tempoh setahun saya mengikuti perkembangan pasukan negara di bawah kendalian Cheng Hoe, dapat lihat banyak peningkatan dan paling jelas adalah ketika saingan Piala AFF.

    “KPI (petunjuk prestasi utama) diletakkan FAM, dia sudah lepas maka saya tidak lihat sebab kontraknya tidak disambung dan peminat juga tertunggu-tunggu apa jawapannya,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

    Sejak menggantikan Nelo Vingada sebagai pengendali pasukan kebangsaan, kualiti serta prestasi skuad Harimau Malaya dilihat meningkat dimana Cheng Hoe berjaya melakar sebanyak lapan kemenangan, empat seri dan lima kekalahan.

    Bekas pengendali Kedah ini juga berjaya menepati KPI yang ditetapkan oleh FAM iaitu membawa Malaysia mara ke pentas perlawanan akhir saingan Piala AFF Suzuki 2018.

    Tambah Datuk Jamal, selain menganggap Cheng Hoe ialah individu yang tepat, badan induk bola sepak negara itu perlu menambah jurulatih bagi membantu Cheng Hoe untuk memantapkan lagi kualiti pasukan negara.

    “Macam sekarang ini kita ada ketua jurulatih dan jurulatih penjaga gol, jadi kita ambil jurulatih untuk bahagian pertahanan, tengah dan serangan bagi memperbaiki setiap kelemahan secara terperinci,” tambahnya.

    Baca Juga: FAM Optimis Sambung Kontrak Tan Cheng Hoe

    Leave a comment

    Your email address will not be published.