• Dengan kedatangan pemain import terakhir untuk pasukan Pahang iaitu Jose Eduardo atau lebih dikenali sebagai Ze Love, maka lengkap sudah senarai pemain pasukan Pahang atau Tok Gajah untuk musim 2019. Pemain yang berasal dari Brazil itu bakal bergandingan dengan Dickson Nwakaeme di jentera serangan.

    Selain dari kedua-dua mereka, barisan kejurulatihan turut membariskan tiga lagi pemain import iaitu Saddil Ramdani (Indonesia), Herold Goulon (Perancis) dan Safuwan Baharuddin (Singapura). Keseluruhannya, Dollah Salleh membariskan dua pemain import di posisi penyerang, dua pemain tengah dan seorang bek tengah.

    Secara taktikalnya, Dollah menumpukan kepada usaha untuk memperkuatkan kesemua posisi. Dickson Nwakaeme diberikan kepercayaan untuk mencipta impak yang besar kepada jentera serangan untuk mencipta peluang gol dan mencetak gol sambil dibantu dengan kehadiran Ze Love di posisi yang sama. Herold Goulon pula dijangka akan bergandingan dengan Muslim Ahmad di posisi bek tengah.

    Berbekalkan fizikal tinggi dan tegap, ia adalah satu percaturan yang baik untuk mengekang dan mengawal benteng pertahanan daripada dibolosi pihak lawan. Selain itu, ia juga mampu memberikan Dollah pilihan untuk melakukan rotasi pemain khususnya di posisi bek tengah di antara Muslim Ahmad, Afif Amiruddin dan Herold Goulon.

    Kehadiran pemain muda dari seberang, Saddil Ramdani juga bakal memberikan lebih banyak pilihan kepada Dollah untuk meletakkan pemain di posisi sayap. Selain Saddil, Dollah memiliki Zuhair Aizat, Faisal Halim dan Wan Zaharulnizam di posisi yang sama. Selain itu, dengan usia yang muda, Saddil mempunyai kecergasan pada tahap yang terbaik dan umum mengetahui persembahan beliau di atas padang setakat ini wajar diberikan pujian.

    Pemain versatile dari Singapura, Safuwan Baharuddin yang sudah semusim bersama Pahang tidak perlu dipertikaikan lagi kebolehan beliau. Keserasian beliau di posisi tengah bersama Azam Azih adalah salah satu faktor Pahang menjulang Piala FA pada musim 2018.

    Mohamadou Sumareh yang mendapat status pemain naturalisasi pula sudah pasti memberikan kelebihan buat keseluruhan pasukan Pahang. Prestasi beliau yang cemerlang ketika mewakili Harimau Malaya di Piala AFF Suzuki sudah pasti akan menjadi tonik terbaik untuk beliau terus beraksi cemerlang pada musim ini.

    Keseluruhannya, Dollah sudah menampal segala kelompongan taktikal yang dapat beliau kesan pada musim lepas. Prestasi Pahang yang kurang memberangsangkan pada aksi Liga Super 2018 telah membuka mata barisan kejurulatihan pasukan Pahang untuk memperkuatkan setiap posisi terutamanya jentera serangan dan benteng pertahanan.

    Tinggal lagi, pemain-pemain perlulah beraksi sehabis baik menterjemahkan segalanya kepada keputusan yang baik pada setiap perlawanan. Selamat maju jaya buat skuad Tok Gajah.

    22 JAN 2019
    ZUL EFFANDI MOHD RUSLI
    Penyokong pasukan Pahang sejak 1992
    Graduan Bacelor Sains Taman dan Rekreasi, Fakulti Perhutanan, UPM Serdang

    Baca Juga: Impak Dickson Nwakaeme Kepada Pahang

    Leave a comment

    Your email address will not be published.