• Pemain sayap Selangor, Wan Zack Haikal bakal terlepas sebahagian besar saingan Liga Malaysia musim 2019 apabila beliau perlu menjalani pembedahan untuk memperbaiki ligamen yang koyak.

    Pemain berusia 27 tahun ini mengalami kecederaan di bahagian lutut ketika Selangor menentang pasukan Home United dalam siri perlawanan pra musim di UM Arena minggu lalu. Pada awalnya, kecederaan yang dialami oleh Wan Zack dilihat tidak terlalu serius kerana beliau masih mampu untuk berjalan sendiri tanpa bantuan tongkat atau kerusi roda.

    Namun, setelah laporan Magnetic Resonance Imaging (MRI) yang dijalankan Sabtu lalu dikeluarkan, Wan Zack memerlukan pembedahan untuk memperbaiki ligamen yang koyak pada lutut kirinya.

    Sebelum ini, Wan Zack pernah mengalami kecederaan yang sama pada lutut kanannya ketika mewakili pasukan kebangsaan pada 2013. Wan Zack berjaya pulih daripada kecederaan tersebut dan beliau sempat beraksi dalam saingan Liga Malaysia bersama Kelantan pada tahun berikutnya.

    Menurut laporan The Star, pengurus pasukan Selangor, Datuk Abdul Rauf Ahmad mengatakan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) akan segera menghantar Wan Zack untuk menjalani pembedahan.

    “Kerosakan pada ligamennya lebih parah daripada yang kita sangka sebelum ini. Selepas laporan imbasan MRI kedua, dia masih boleh berjalan – jadi kita semua fikir ia bukan kecederaan serius.

    “Kami mencarikan pakar physio bagi membolehkan beliau untuk memberikan fokus sepenuhnya bagi sesi pemulihan.

    “Kami juga ada pemain lain yang boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Wan Zack Haikal,” kata Datuk Rauf.

    Wan Zack sendiri sudah bersedia untuk menjalani pembedahan dan cuba untuk pulih daripada kecederaan yang dialami secepat yang mungkin.

    “Saya tidak merasakan sakit atau rasa tidak selesa. Apabila pihak pengurusan berkata mereka mahu menjaga saya, saya bermotivasi tinggi untuk kembali beraksi secepat yang mungkin.

    “Kecederaan adalah satu perkara biasa sebagai pemain bola sepak. Saya tidak boleh berputus asa. Saya akan memberikan fokus untuk menjalani sesi pemulihan dan kembali ke prestasi terbaik,” kata Wan Zack.

    Baca Juga: Pengurusan Lama Tidak Efisen – B.Sathianathan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.