• Status mengenai penyerang skuad bawah 19 tahun negara, Zafuan Azeman akhirnya terlerai apabila pemain ini sah menyertai skuad Harimau Kumbang bimbingan Ahmad Yusoff bagi saingan Liga Perdana musim ini.

    Perkara ini diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) menerusi media sosial rasmi pasukan, Perlis Northern Lions hari ini. Menurut PFA, di atas persetujuan bersama, Zafuan dibenarkan untuk beraksi bersama Pulau Pinang.

    Sebelum ini, Zafuan diperkenalkan sendiri oleh Presiden PFA, Datuk Amizal Shaifit Ahmad Shafie sebagai pemain baru pasukan Perlis dalam satu majlis di Hotel Concorde Shah Alam pada 5 Januari lalu.

    Namun, status Zafuan bersama Perlis menjadi tanda tanya setelah kelibat pemain ini dilihat bersama pasukan Pulau Pinang. Malah Zafuan turut diturunkan dalam perlawanan persahabatan menentang PKNP FC pada Ahad lalu.

    Pengurus pasukan Pulau Pinang, Ong Heng Hua berkata Zafuan kini sedang menjalani percubaan bersama pasukan itu dan pihaknya mahu memastikan terlebih dahulu penyerang yang pernah menjalani ujian bersama kelab Serie B, Venezia ini tidak terikat dengan mana-mana pasukan.

    “Benar Zafuan sedang menjalani ‘trial’ dengan kami dan dalam proses penilaian, kami difahamkan dia belum tandatangan kontrak dengan Perlis tetapi kami juga tidak mahu terburu-buru, kami akan memastikan semuanya jelas agar tidak mewujudkan pula satu perbalahan atau kemelut baru,” katanya menurut laporan Fox Sport Asia.

    Selain pernah menjalani ujian bersama Venezia, Zafuan Azeman juga pernah menjalani tempoh ujian bersama salah sebuah kelab divisen 3 Liga Korea iaitu Yangju Citizens FC tahun lalu.

    Skuad Harimau Kumbang sedang giat membuat persiapan menjelang saingan Liga Perdana musim 2019. Pengurusan baru dibawah seliaan Dr. Amar Pritpal Abdullah mahu mencari pemain di bahagian serangan bagi digandingkan dengan dua pemain import iaitu bekas pemain Felda United, Ndumba Makeche dan penyerang dari Argentina, Julian Bottaro.

    Baca Juga: Zafuan Azeman Jalani Ujian Bersama Venezia

    Leave a comment

    Your email address will not be published.