Sumber Gambar: Berita Harian

Pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak memberi kelonggaran kepada mana-mana pasukan yang gagal untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan dimana hukuman berupa sekatan geran tahunan bakal dikenakan kepada mereka yang terlibat.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam berkata demikian selepas beliau dimaklumkan bahawa salah satu pasukan Liga Perdana, Perlis amat bergantung dengan geran tahunan bagi menyelesaikan tunggakan gaji pemain musim lalu.

Menurut Kevin, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sudah dimaklumkan mengenai perkara tersebut sejak kali pertama mereka berhubung mengenai geran tahunan yang bakal diberikan kepada persatuan itu.

“Semua pasukan yang gagal membayar gaji dan menyerahkan dokumen kewangan seperti diminta tetap akan berdepan tindakan tegas.

“Saya tidak mahu ulas lagi mengenai isu melibatkan Perlis kerana bagi saya mereka sudah maklum tentang perkara tersebut.

“Jika tidak melunaskan hutang maka akan berdepan tindakan geran ditahan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, PFA dilaporkan mahu menggunakan geran tahunan yang bakal diberikan oleh MFL bagi menyelesaikan tunggakan gaji pemain yang beraksi bersama pasukan musim lalu. Ini kerana mereka kehilangan empat penaja besar yang mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menaja pasukan kerana persatuan itu berdepan masalah tunggakan gaji pemain yang serius.

Presidennya, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie memaklumkan pihak MFL juga sudah sedia maklum mengenai perkara tersebut. Namun, kenyataan yang dikeluarkan oleh Kevin nyata bercanggah dengan kenyataan Datuk Amizal.

Bagi pemain Perlis yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini, tunggakan gaji mereka sudah memasuki bulan kedua. Ada beberapa pemain yang dikhabarkan bakal meninggalkan pasukan sekiranya mereka tidak menerima gaji setelah perlawanan liga menentang Johor Darul Ta’zim II hari ini.

Apa yang pasti, langkah MFL yang tidak mahu memberi sebarang kelonggaran kepada pasukan terlibat dengan tunggakan gaji dilihat satu langkah yang tepat memandangkan pasukan yang terlibat sudah diberi amaran berulang kali serta diberikan tempoh masa untuk melunaskan hutang masing-masing.

Baca Juga: PFA Makin Tenat!

Leave a Reply