Sumber Gambar: SB

Sebanyak 20 pasukan yang kebanyakannya berstatus kelab amatur dan juga komuniti bakal berentap bagi merebut tempat dalam pusingan kedua saingan Shopee Piala FA edisi kali ini.

Majlis undian bagi perlawanan pusingan pertama telah diadakan pada hari ini dan beberapa kejutan telah tercipta dimana Klasiko FC akan turun menentang kelab yang mencatatkan kemenangan besar pada perlawanan pusingan pertama iaitu Batu Dua FC.


Sumber Gambar: Klasiko FC

Batu Dua FC berjaya menewaskan Rawang City FC pada perlawanan pusingan pertama dengan keputusan 17-1 sekaligus menjadi rekod jaringan terbesar dalam sejarah saingan Piala FA. Batu Dua diwakili oleh beberapa pemain yang pernah beraksi dalam saingan Liga Super seperti Azidan Sarudin, Manaf Mamat dan Saifulnizam Miswan.

Kelab komuniti dari Terengganu pula, Pemanis FC akan menentang kelab yang beraksi dalam saingan Piala FAM musim lalu, Kuching FA. Kuching diwakili oleh bekas pemain skuad kebangsaan dan Selangor, Joseph Kalang Tie dan sudah pasti Pemanis bakal menghadapi cabaran sukar.

Finalis Selangor Champions League 2018, Kampung Raja Uda (KRU) FC bakal menghadapi cabaran daripada kelab amatur dari Johor Bahru, JBFA. JBFA sebelumnya mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama.

Satu lagi pertembungan tumpuan ialah perlawanan diantara MPKJ FC menentang pasukan Kelantan United. Sama seperti Batu Dua FC, Kelantan United turut dibarisi oleh pemain yang pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia dan bekas pemain Kelantan FA antaranya Daudsu Jamaluddin, Famirul Asryaf Sayuti dan Shahrizan Ismail.


Sumber Gambar: Kelantan United FC

Sebelum ini, 36 pasukan berentap dalam pusingan kelayakan Shopee Piala FA. 10 pasukan yang mencatat kemenangan di pusingan pertama akan mara ke pusingan kedua. Perkara ini merupakan pencapaian tertinggi bagi kelab amatur dan komuniti jika mereka berjaya mara sejauh ini.

Apa yang pasti, 20 pasukan yang layak beraksi di pusingan kedua ini perlu menampilkan persembahan terbaik dimana pemenang berkemungkinan besar menghadapi pasukan dari Liga Super.

Baca Juga: MFL Tidak Beri Kelonggaran

Leave a Reply