Sumber Gambar: Sportflex

Penyerang skuad bawah 22 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak menegaskan beliau sudah sedia untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar bagi memastikan Malaysia mencatat kemenangan pada perlawanan pertama saingan AFF Bawah 22 Tahun menentang tuan rumah, Kemboja hari ini.

Hadi disamping dua lagi penyerang, Jafri Firdaus dan R.Kogileswaran bakal menjadi harapan utama pasukan negara untuk merobek gawang pasukan lawan setelah ketiadaan pemain utama di posisi tersebut seperti Akhyar Rashid dan Safawi Rasid.

“Saya akan terapkan sebanyak mungkin ilmu saya pelajari di Jepun. Sebenarnya semua pemain ada potensi, jadi saya harap ini buka peluang kepada pemain lain dan saya untuk tampil lebih baik.

“Saya berpendapat ini cabaran bagus yang dapat membantu diri saya jadi lebih baik,” kata pemain yang kini beraksi bersama kelab J2, Fagiano Okayama kepada Berita Harian.

Dalam saingan AFF Bawah 22 Tahun edisi kali ini, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee tidak diberikan sasaran namun bekas pemain tengah Melaka itu mahu anak-anak buahnya untuk menampilkan aksi terbaik sekaligus mencipta kejutan.

Kim Swee mahu memberikan pendedahan secukupnya kepada para pemain kerana selepas kejohanan ini tamat, pasukan bawah 23 tahun negara akan menghadapi saingan peringkat kelayakan AFC Bawah 23 Tahun yang dijadualkan pada Mac ini.

Meskipun begitu, selain sudah bersedia untuk diberikan tanggungjawab yang lebih besar, Hadi mahu memastikan beliau menampilkan persembahan terbaik dan membawa pasukan negara mara ke pentas perlawanan akhir.

Hadi mahu memastikan penyertaan beliau dalam saingan kali ini berbaloi kerana beliau akan terlepas perlawanan pertama bersama Fagiano Okayama pada 24 Februari ini.

“Misi saya adalah untuk membawa pasukan ke final kerana saya datang dari jauh. Untuk itu saya perlu tetapkan misi yang lebih tinggi,” tambahnya.

Kejohanan AFF bawah 22 tahun diadakan semula selepas ditangguhkan beberapa kali khususnya pada edisi 2011 dan 2015. Catatan terbaik pasukan negara ialah menduduki tangga keempat pada edisi sulung lebih tepatnya pada tahun 2005 lalu.

Malaysia tewas di tangan Thailand pada perlawanan separuh akhir dan mengalami nasib sama pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat apabila tewas kepada pasukan Myanmar.

Baca Juga: Malaysia Mulakan Cabaran Menetang Kemboja

Leave a Reply