Sumber Gambar: PNL

Bekas pemain tengah skuad kebangsaan, Badhri Radzi mengesahkan beliau telah meninggalkan pasukan Perlis dan hampir pasti untuk kembali ke negeri kelahiran beliau.

Piya mengesahkan bahawa semalam merupakan sesi latihan terakhir beliau bersama skuad Singa Utara dan dan akan menghantar surat pelepasan kepada majikan beliau iaitu Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

Pada masasama, pemain berusia 36 tahun itu turut mendedahkan seramai 8 pemain Perlis sebenarnya sudah meninggalkan Perlis untuk mencari pasukan baharu sebelum jendela perpindahan pertama Liga Malaysia ditutup pada hari ini.

“Saya memang sudah angkat kaki (tinggalkan Perlis) dan hari ini adalah hari terakhir. Hala tuju seterusnya mungkin bersama pasukan tanah kelahiran samada Kelantan atau Kelantan United,” katanya kepada Berita Harian.

“Kelmarin saya sudah jumpa Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Red Warriors Sdn Bhd (Fazli Mohammad). Kalau diikutkan saya setuju dengan syarat dia berikan dan kini hanya menunggu jawapan daripada pihaknya pula.

“Sekarang ini pemain (Perlis) semakin lama semakin tiada dan sekarang ini pun tinggal berapa kerat saja. Tujuh hingga lapan pemain sudah keluar dan saya difahamkan ada beberapa pemain lain lagi akan menyusul.”

Pemain Perlis yang beraksi bersama pasukan bagi musim 2019 dikhabarkan tidak menerima sebarang bayaran terutamanya bayaran gaji sejak menyertai pasukan sebelum saingan musim ini bermula.

Piya turut meminta kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk melanjutkan tempoh pendaftaran buat semua pemain Perlis yang sepatutnya berakhir hari ini, bagi memberi ruang kepada mereka mencari pasukan baru.

“Saya difahamkan permintaan kepada MFL ini dibuat oleh pemain Perlis sendiri. Jadi bagi saya berilah kelonggaran kepada pemain Perlis yang semua tahu berdepan masalah dalam pasukan ketika ini.

“Tapi saya difahamkan MFL juga sedia memberi kelonggaran itu kepada pemain Perlis saja dan pemain pun dilihat tidak tergesa-gesa untuk mencari pasukan baharu,” tambahnya.

Setakat ini, hanya Safee Sali yang sudah mempunyai pasukan baru setelah mengambil keputusan untuk meninggalkan Perlis dimana beliau menyertai Petaling Jaya City FC yang beraksi dalam saingan Liga Super.

Baca Juga: PFA Serahkan Nasib Kepada MFL

Leave a Reply