Sumber Gambar: FAM

Pengendali skuad bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee menggesa para pemainnya untuk menampilkan aksi terbaik bagi membolehkan pasukan negara mencatat kemenangan ke atas pasukan Myanmar pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan B saingan AFF Bawah 22 Tahun.

Pasukan negara wajib untuk mencatat kemenangan ke atas Myanmar sambil mengharapkan pasukan yang ketika ini berada di tangga kedua, Indonesia gagal untuk mencatat tiga mata penuh ketika berdepan dengan pasukan tuan rumah, Kemboja.

Akan tetapi, jika Kemboja tewas kepada Indonesia manakala pasukan negara hanya mampu seri ataupun tewas, maka anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee harus melupakan hasrat untuk kekal dalam saingan edisi kali ini.

“Kita tak perlu memikirkan tentang apa yang akan berlaku antara Kemboja dan Indonesia. Jika kita tidak fokus ataupun tidak bermain dengan baik untuk mendapatkan tiga mata tetapi akhirnya Kemboja mengalahkan Indonesia tidak guna juga.

“Jika kita berjaya dapatkan kemenangan dan keputusan lain pula memihak Indonesia itu bukan dalam kawalan kita.

“Apapun, saya harap apabila berakhirnya perlawanan esok kita akan dapat keputusan positif dan seterusnya layak. Tetapi jika berlaku sebaliknya, dah tentu ini menjadi pengajaran berguna kepada semua pemain,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Jelas Datuk Ong Kim Swee, beliau mungkin merombak kesebelasan utama dengan menyenaraikan semula Danial Haqim Draman yang sebelum ini digantung satu perlawanan susulan kad merah diraihnya ketika aksi pertama menentang Kemboja pada perlawanan pembukaan kumpulan B.

“Saya akan mengekalkan formasi dan sistem permainan kita cuma mungkin akan berlaku sedikit perubahan dalam senarai pemain yang akan diturunkan esok,” tambahnya.

Setelah tewas 1-0 di tangan Kemboja pada perlawanan pertama, pemain negara menampilkan kebangkitan pada perlawanan kedua peringkat kumpulan B ketika menentang pasukan Indonesia.

Nik Akif Syahiran dan Hadi Fayyadh berjaya menjaringkan gol pada separuh masa kedua bagi memastikan pasukan negara meraih satu mata dan menghidupkan peluang untuk mara ke peringkat seterusnya.

Baca Juga: Pemenang Puskas Kini Berstatus Ejen Bebas

Leave a Reply