Sumber Gambar: FAM

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menegaskan pasukan senior negara yang akan beraksi dalam saingan Piala Airmarine 2019 tidak akan menggunakan khidmat pemain daripada skuad bawah 23 tahun kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan beraksi dalam saingan Piala Airmarine dengan menentang pasukan Kepulauan Solomon, Singapura dan Oman pada 20 hingga 23 Mac ini manakala skuad Bawah 23 tahun negara bakal berdepan tugas lebih penting iaitu beraksi dalam peringkat kelayakan AFC Bawah 23 Tahun pada 22 hingga 26 Mac nanti.

Menurut Datuk Yusoff, pasukan B-23 Tahun menjadi keutamaan dan Datuk Ong Kim Swee dijangka tidak akan berdepan sebarang masalah untuk mendapatkan pemain yang beliau mahukan bagi memperkuatkan pasukan.

“Kim Swee ada minta supaya pemain B-23 dilepaskan. Jangan ‘sentuh’ pemain B-23 sebab kita mahukan skuad terbaik menghadapi pusingan kelayakan Kejuaraan AFC B-23 nanti.

“Kita nampak situasi itu dan sudah beritahu Cheng Hoe supaya memilih pemain lain. Lagi pun kita memiliki ramai pemain berusia lebih 23 tahun yang mampu disenaraikan dalam pasukan (Harimau Malaya),” katanya menurut laporan Berita Harian.

Susulan prestasi hambar yang ditampilkan pasukan bawah 22 tahun negara dalam saingan AFF Bawah 22 Tahun di Kemboja baru-baru ini, peminat mengharapkan beberapa pemain utama seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Adam Nor Azlin dapat diturunkan dalam saingan peringkat kelayakan bagi memastikan Malaysia melayakkan diri ke saingan AFC B-23 Tahun.

Pada saingan edisi 2018, anak-anak buah Datuk Ong melakar sejarah apabila melangkah ke peringkat suku akhir buat pertama kali dalam sejarah kejohanan. Namun rentak cemerlang pasukan negara dihentikan oleh Korea Selatan.

Pada masa yang sama, Datuk Yusoff berpendapat isu pelepasan pemain tidak akan timbul kerana tarikh peringkat kelayakan adalah tempoh rehat antarabangsa dan saingan liga juga akan dihentikan buat seketika.

“Saya tidak nampak akan ada pasukan yang enggan melepaskan pemain kerana ketika itu tidak ada perlawanan (aksi liga). Agak mustahil jika ada pasukan mahu ‘simpan’ pemain hanya untuk latihan saja.

“Tetapi kalau itulah jawapan pasukan, ia satu yang malang buat bola sepak negara,” ujarnya.

Baca Juga: Layanan Yang Diberikan Sama Rata

Leave a Reply