Sumber Gambar: BH

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Pengerusi Jawatankuasa Pengadil mereka, Md Dali Wahid menegaskan layanan yang diberikan oleh pihaknya terhadap pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia adalah sama rata dan tidak memberi keistimewaan kepada mana-mana pasukan.

Sebelum ini, Berita Harian sukan memuat naik satu artikel yang menyatakan beberapa pihak menganggap pengadil memberi layanan istimewa kepada juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT). Perkara ini dibangkitkan susulan JDT memperoleh empat sepakan penalti dalam empat perlawanan Liga Super setakat ini.

Dali menafikan perkara tersebut dan menegaskan layanan yang diberikan adalah sama rata dan tiada layanan khusus diberikan kepada JDT.

“Sejujurnya memang tiada hak istimewa diberikan kepada JDT. Tapi itu hak orang (untuk membuat dakwaan) dan kami terima saja apa yang mereka katakan.

“Kami akan menyiasat segala dakwaan atau kritikan diterima berhubung mutu pengadilan dalam liga kita. Selepas itu barulah kami akan buat tindakan susulan.

“Hari ini pun saya ada berbincang bersama Ketua Jabatan Pengadil FAM, Kassim Kadir Bacha mengenai penalti diterima JDT yang kini hangat diperkatakan.

“Setiap kali perlawanan pun saya jumpa pengadil untuk memberi motivasi dan antara perkara yang saya selalu katakan kepada mereka adalah tegas dan adil. Keadilan akan datang bila anda tegas,” katanya kepada Berita Harian.

Tambah Dali, pihaknya terbuka untuk menerima sebarang kritikan yang membina kerana setiap orang mempunyai pandangan atau pendapat sendiri.

“Kami memang terbuka menerima kritikan, tapi biarlah kritikan itu berasas dan mengikut saluran yang betul. Malah, kami akan siasat terlebih dulu segala tuduhan yang dilemparkan, bukannya ambil tindakan secara melulu.

“Setakat ini pengadil menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, tiada kata dengan JDT lain (layanan), memang tiada,” tambahnya.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim nyata kecewa dengan tuduhan yang dilemparkan kepada kelab beliau dan menyeru agar wartawan menulis berita berdasarkan fakta dan bukan berdasarkan perasaan atau emosi mereka.

Baca Juga: Pemain Perlis Buat Laporan Polis Terhadap PFA

Leave a Reply