Sumber Gambar: Stadium Astro

Ketua jurulatih pasukan Selangor, B.Sathianathan berharap diberikan masa untuk mengendalikan skuad The Red Giants sekurang-kurangnya 10 perlawanan Liga Super bagi memperbaiki prestasi pasukan yang ketika ini mula menampilkan peningkatan.

Menurut Sathia, para pemain mula memahami falsafah bola sepak yang diterapkan oleh beliau selepas menampilkan persembahan bertenaga ketika mengikat pasukan Pahang di Stadium Daruk Makmur dengan keputusan 1-1 minggu lalu.

“Saya bangga dengan prestasi pemain pasukan kami pada perlawanan ini yang dilihat sudah mula mendapat rentak meskipun beraksi dengan tekanan hebat ekoran keputusan negatif sebelum ini.

“Lebih membanggakan, kami berjaya mengharungi perlawanan sukar tanpa kelibat dua pemain import, Taylor Regan dan Sandro selain Khyril Muhymeen yang masih belum cergas sepenuhnya.

“Saya percaya Selangor masih berada di landasan tepat tetapi perlu diberikan masa sekurang-kurangnya 10 perlawanan sebelum dapat melihat hala tuju sebenar,” katanya menurut laporan Kosmo.

Sathia menambah anak-anak buahnya tidak boleh cepat berpuas hati dengan keputusan yang diraih minggu lalu dimana mereka akan menghadapi juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim di Stadium Shah Alam pada Jumaat ini.

“Pasukan akan terus menghadapi tekanan selagi tidak meraih kemena­ngan pertama termasuk saya. Namun, saya harap pemain dapat meningkatkan pres­tasi dan bekerja keras kerana mereka akan berdepan pasukan terbaik liga, JDT selepas ini.

“Mungkin akan ada rombakan dalam kesebelasan utama tetapi bergantung kepada fokus pemain sepanjang sesi latihan nanti,” ujarnya.

Setelah tewas besar di tangan PKNS FC pada perlawanan Liga Super minggu ketiga, keputusan seri ketika menentang Pahang dilihat meredekan sedikit tekanan yang dihadapi oleh Sathia dan juga pasukannya.

Pada perlawanan menentang JDT pada Jumaat ini, Sathia dijangka bakal menurunkan pemain import baru pasukan yang juga bekas pemain Kedah, Sandro Da Silva dan juga pemain yang dipinjam daripada PKNS FC, Fandi Othman.

Sandro bakal digandingkan dengan Faiz Nasir dan Endrick Dos Santos bagi membantu Rufino Segovia di barisan serangan menakala Fandi pula bakal diturunkan di posisi pertahanan kiri pasukan.

Baca Juga: Taylor Regan Positif Selangor Segera Catat Kemenangan

Leave a Reply