Sumber Gambar: The Star

Penjaring terbanyak Liga Super 2009, Nizaruddin Yusof bersetuju sekiranya pemenang Penjaring Terbanyak turut diberikan insentif wang tunai selain diberikan trofi sebagai penghargaan.

Sebelum ini, kasut emas yang diterima Nizaruddin bukanlah kasut emas seperti yang dibayangkan kerana kasut tersebut merupakan kasut bola biasa yang disembur cat berwarna keemasan dan kemudiannya dihias di dalam kotak plastik lutsinar.

Setelah beberapa tahun, kasut tersebut telahpun rosak dan perkara ini sedikit-sebanyak membuatkan bekas pemain Perlis ini terkilan. Bekas pemain skuad kebangsaan, Shebby Singh kemudiannya mencadangkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) patut memberikan insentif wang tunai jika MFL tidak berhasrat menaik taraf trofi itu pada masa akan datang.

“Bagi saya memang patut hadiah wang tunai turut diberikan kepada pemenang Kasut Emas Liga Malaysia. Ini kerana kemenangan itu tidak sama dengan kejayaan lain termasuk pemain terbaik. Untuk menang trofi pemain terbaik tidak perlu jaring gol, cukup hanya bermain dengan baik dan membantu kejayaan pasukan.

“Tapi nak jaring satu gol pun bukan mudah, inikan pula nak muncul penjaring terbanyak. Itulah keunikan pemenang Kasut.

“Emas yang perlu dihargai sewajarnya. Jadi, saya memang setuju hadiah iringan wang tunai juga diberikan kepada penjaring terbanyak,” kata Nizaruddin Yusof ketika dihubungi Harian Metro.

Pada masa yang sama, Nizaruddin turut menasihati MFL agar menjaga nilai prestij anugerah itu dengan menghasilkan Kasut Emas yang berkualiti sekalipun bukan kasut emas sebenar yang pastinya memerlukan kos tinggi.

“Saya masih ingat selepas memenangi trofi Kasut Emas, pasukan Perlis melakukan persiapan untuk Piala Malaysia dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab dari Indonesia iaitu Srivijaya FC.

“Saya rasa bangga, apabila sampai di sana, tersebar cerita bahawa ada pemenang Kasut Emas dalam pasukan Perlis hingga kelab Srivijaya FC bercadang mengikat saya.

“Malah, saya hampir pasti menandatangani kontrak bersama kelab itu jika menunggu di sana, tetapi berlaku sebaliknya apabila terpaksa balik disebabkan anak saya jatuh sakit,” tambahnya.

Baca Juga: Peluang Pemain Untuk Tampilkan Kemampuan

Leave a Reply