Sumber Gambar: PFAM

Persatuan Pemain Bola Sepak Malaysia (PFAM) sedia untuk membantu bekas pemain Perlis Northern Lions 2 yang mengambil tindakan undang-undang terhadap Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dengan menyediakan khidmat guaman.

Selasa lalu, seramai tujuh pemain PNL 2 menemui jalan buntu apabila diberitahu mereka perlu mendapatkan peguam untuk mencari penyelesaian terhadap dakwaan ditipu Ahmad Amizal selepas polis mengklasifikasikan kes melibatkan tersebut sebagai sivil dan bukan jenayah.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, mereka memang menyediakan khidmat guaman kepada mana-mana pemain yang mempunyai masalah dengan majikan.

Menurut Izham, dalam kes pasukan Perlis, kedua-dua pihak masih berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik sebelum memanjangkan masalah ke peringkat perundangan.

“Ya kita ada peguam, dan bagi kes pemain Perlis, kita masih dalam perbincangan dengan pemain. Segala maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian.

“Kita di PFAM akan cuba memberi bantuan sebaik mungkin kepada pemain Perlis bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Isnin lalu, seramai 18 pemain Perlis Northern Lions 2 memutuskan untuk membuat laporan polis terhadap PFA berhubung dakwaan penipuan kontrak dan penyelewengan wang pemain.

Bekas Kapten PNL2, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman berkata, beliau dan 17 rakan sepasukan membuat laporan polis ke atas bekas Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie dan timbalannya, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan.

“Laporan ke atas Datuk (Ahmad Amizal) dibuat kerana dia menjanjikan kontrak semusim dan kami semua diarahkan untuk menandatanganinya namun dia sendiri memungkirinya.

“Dia sendiri mengaku bahawa kontrak kami itu tidak sah kerana dia tidak menandatanganinya.

“Perkara ini terbongkar pada 25 Januari lalu dalam pertemuan tertutup antara dia dan kami di sebuah hotel di daerah ini dan selama hampir dua bulan ini kami menjalani latihan secara buta,” kata Ezzrul.

Selang dua hari, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan kemudiannya turut membuat laporan polis dimana beliau menafikan dakwaan pihaknya menyeleweng wang gaji pemain Northern Lion 2 seperti yang dinyatakan oleh 18 bekas pemain pasukan itu.

Baca Juga: PFAM Sambut Baik Tindakan Tegas MFL

Leave a Reply