• Bekas pemain skuad kebangsaan, Khalid Ali berpendapat ada unsur sabotaj terhadap pengurusan baru Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) di atas prestasi hambar pasukan dalam saingan Liga Super musim ini.

    Setakat tiga perlawanan Liga Super musim ini, Selangor hanya mampu mengutip dua mata dimana mereka seri ketika bertemu Felda United dan Petaling Jaya City FC serta dibelasah oleh PKNS FC dengan keputusan 4-0.

    Menurut Khalid, tidak mustahil pihak luar cuba untuk melancarkan sabotaj ke atas pengurusan baru pasukan dengan menimbulkan masalah yang boleh membuatkan para pemain tidak lagi sehaluan selain menimbulkan rasa ketidakpuasan hati terhadap pihak pengurusan.

    “Kemungkinan, ada unsur sabotaj dalam pasukan kerana apa yang berlaku ini berkait dengan Geng 52 yang kita tahu sebelum ini ingin menguasai FAS. Memang ada kekacauan dari luar dan ada juga pemain-pemain yang menyokong geng itu.

    “Mereka (pemain) tidak setuju dengan pengurusan baru kerana mereka ini masih menghormati pengurusan lama. Mereka sangat rapat sebelum ini. Mungkin ini adalah arahan daripada Geng 52,” kata Khalid menurut laporan Stadium Astro.

    Tambah Khalid, pengurusan baru FAS tetap menjalankan tugas dengan baik untuk mengembalikan semula kegemilangan pasukan Selangor dengan beberapa langkah termasuk program yang bertujuan mendekatkan pasukan bersama peminat.

    “Terdapat sedikit kelemahan dalam menguruskan pemain kerana mereka (pengurusan baru) masih baru dan tidak mempunyai pengalaman. Tetapi mereka sentiasa berusaha menjadi terbaik dari semasa ke masa.

    “Saya berharap Menteri Besar dapat bekerjasama dengan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, untuk atasi masalah ini dan wujudkan satu pengurusan yang mantap, sekali gus membawa naik nama Selangor semula,” tambahnya.

    Pada masa yang sama, Khalid turut menggesa para pemain agar menghormati kontrak yang sudah ditandatangani dan bermain sebagai seorang pemain profesional dan bukannya bermain demi kepentingan sendiri atau pihak luar.

    “Sebagai pemain profesional, mereka kena hormati kontrak. Mereka kena akur dengan kontrak tersebut dan menghormati pengurusan. Jangan menjejaskan imej serta nama baik FAS dan Selangor,” katanya.

    Baca Juga: Sathia Perlu Sokongan Untuk Perbaiki Prestasi Pasukan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.