• Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menjadi pasukan pertama dalam saingan Liga Malaysia yang memperkenalkan Pelan Strategik Integriti bagi membendung gejala rasuah di kalangan pemain dan pegawai pasukan.

    Ketika ditemui pada Majlis Deklarasi Integriti Pasukan Bola Sepak Selangor 2019 bersama Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di hotel Sunway Putra semalam, Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar menjelaskan pihaknya juga turut melancarkan buku panduan integriti sebagai rujukan semua pegawai dan pemain pasukan.

    Menurut Datuk Seri Shahril, isi kandungan utama buku tersebut ialah menjelaskan mengenai secara terperinci mengenai makna integriti, nilai integriti dan rasuah.

    “Hari ini agak bersejarah bagi FAS kerana kita buat ikrar bebas rasuah FAS bersama SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dengan membabitkan lebih 160 kakitangan persatuan serta pemain.

    “Kedua, kita lancar dua buku utama, yang pertama pelan strategik integriti untuk tiga tahun yang akan datang. Buku panduan ini penting kerana selepas semua kakitangan dan pemain berikrar dan menandatangani buku panduan ini, jadi tiada seorang pun boleh bangkitkan dia tidak tahu sekiranya ada apa-apa kelakuan yang tidak baik selepas ini.

    “Mereka sudah berikrar, menandatangani dan memahami kandungan buku panduan ini. Malah Tuanku Presiden FAS (Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah) sendiri pun berikrar mematuhi kedua-dua buku panduan ini,” katanya.


    Sumber Gambar: FA Selangor

    Pada masa yang sama, pihak SPRM menerusi Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki turut mencadangkan dimana telefon bimbit para pemain perlu disimpan dan hanya seorang sahaja pegawai FAS yang diberi tanggungjawab untuk menjaga telefon bimbit pemain.

    “Ia juga boleh menjaga emosi dia (pemain) sebelum perlawanan bermula, mungkin (simpan telefon) empat jam sebelum perlawanan adalah terbaik, mungkin juga lima jam (sebelum), kita tidak tahu.

    “Berkenaan aplikasi pertaruhan (dalam talian), anda boleh dapatkan aplikasi percuma melalui telefon. Pertaruhan secara atas talian semua ada, (tapi) takkan kita nak (pergi) sampai ke rumah dia.

    “Jadi apa yang nak diterapkan adalah nilai integriti dalam diri supaya dia faham. Ini satu percubaan yang kita akan buat secara agresif. Tapi saya tak mahu wujudkan elemen yang menakutkan pemain, nanti pemain nak main pun takut sebab SPRM sentiasa melihat mereka,” kata Datuk Seri Azam.

    Baca Juga: Taylor Regan Positif Selangor Segera Catat Kemenangan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.