• Ketua jurulatih skuad bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee selesa dengan status underdog dalam kejohanan AFF Bawah 22 Tahun edisi kali ini dan berharap pasukan bimbingannya mampu untuk mencipta kejutan.

    OKS berdepan dengan pelbagai ranjau dalam mendapatkan pemain terbaik untuk mewakili pasukan negara. Keengganan beberapa pasukan untuk melepaskan pemain mereka menjadi halangan terbesar yang perlu dihadapi oleh Kim Swee.

    Lima pemain yang tidak mendapat pelepasan kelab dan pasukan negeri masing-masing adalah Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam (Kedah), Muhammad Danial Amier Norhisham, Muhammad Zahril Azri Zabri (FELDA United), Mohd Faisal Abdul Halim (Pahang) dan Muhammad Syahmi Safari (Selangor).

    Selain isu pelepasan pemain, isu kecergasan beberapa pemain yang dipanggil seperti pemain tengah Nik Akif Syahiran yang masih dibelenggu kecederaan sedikit-sebanyak merencatkan persiapan skuad bawah 22 tahun negara.

    “Kita perlu ambil perhatian kepada ketiga-tiganya. Kita juga tidak boleh pandang rendah kepada Kemboja kerana mereka bermain di tempat sendiri.

    “Indonesia dan Myanmar pula sudah lama berlatih berbanding kita. Myanmar hentikan liga mereka untuk tempoh sebulan manakala Indonesia sudah berlatih lebih kurang tiga minggu.

    “Jadi mereka pastinya pasukan pilihan namun kita tetap berharap mampu cipta kejutan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Pada masa yang sama, Kim Swee menyatakan beliau menekankan pendedahan kepada para pemain sebelum menghadapi cabaran yang lebih besar iaitu kelayakan AFC Bawah 23 Tahun yang akan bermula pada Mac depan menjadi agenda utama pasukan.

    “Memang tidak ada sasaran diletakkan dan paling penting adalah pendedahan kepada pemain. Ini tidak bermakna kita hanya mahu lengkapkan aksi saja tetapi mahu baiki kelemahan sebelum ke kelayakan AFC B-23,” tambahnya.

    Malaysia akan memulakan kempen bertemu pasukan tuan rumah, Kemboja pada Isnin ini diikuti pertemuan dengan pasukan Indonesia pada 20 Februari dan pasukan Myanmar pada 22 Februari.

    Pencapaian terbaik skuad Harimau Malaya dalam kejohanan ini ialah menduduki tempat keempat pada edisi sulung kejohanan iaitu tahun 2005 silam. Malaysia tewas kepada pasukan Myanmar pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

    Baca Juga: Kelantan Lepaskan Pemain Tanda Sokongan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.