• Juara Piala FA 2018, pasukan Pahang berazam untuk menundukkan pasukan Kuala Lumpur pada perlawanan sulung Liga Super musim ini sekaligus mencatat tiga mata pertama bagi saingan musim 2019.

    Menurut pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang, biarpun memulakan saingan Liga Super di gelanggang lawan, namun hal itu tidak akan melunturkan semangat para pemain. Mereka sudah bersedia untuk berjuang bagi mendapatkan tiga mata pertama musim ini.

    “Biarpun perlawanan pertama kami di tempat lawan, namun kami tidak gentar untuk me­nembusi pertahanan tuan rumah bagi mendapatkan jaringan malam esok (hari ini).

    “Penyokong setia Tok Gajah juga pastinya akan datang beramai-ramai untuk memberi sokongan padu kerana mahu melihat penampilan sulung dua penyerang import kami, Dickson Nwakaeme dan Ze Love,” katanya kepada Kosmo.

    Pada masa yang sama, ketua jurulatih pasukan, Dollah Salleh menegaskan pemainnya akan mendapat peluang sama rata untuk beraksi dalam kesebelasan utama.

    “Gandingan orang lama dan baharu dalam skuad Tok Gajah musim ini sudah pasti menjanjikan aksi yang lebih mantap untuk memburu kemenangan.

    Tambah Dollah, pemain yang diturunkan pada perlawanan malam ini perlu memberikan aksi terbaik mereka dan mengelak daripada melakukan kesilapan mudah yang membolehkan pasukan lawan mengambil kesempatan.

    “Kita harap semua pemain dalam skuad ini sudah serasi antara satu sama lain dan mampu bekerjasama dalam pasukan,” tambhanya.

    Pahang antara pasukan pilihan untuk mencabar Johor Darul Ta’zim bagi merebut trofi Liga Super musim ini. Dengan penambahan pemain import dan juga sebahagian besar pemain tempatan yang dikekalkan daripada skuad musim lalu, skuad Tok Gajah dijangka bakal menduduki kedudukan tiga pasukan terbaik menjelang hujung musim ini.

    Bagi menghadapi saingan musim 2019, pengurusan pasukan membawa masuk pemain import seperti bekas pemain yang pernah beraksi bersama pasukan, Dickson Nwakaeme, penyerang dari Brazil, Ze Love, pemain sayap dari Indonesia, Saddil Ramdani dan pemain pertahanan dari Perancis, Herold Goulon.

    PBNP hanya mengekalkan seorang pemain import iaitu pemain dari Singapura, Safuwan Baharuddin.

    Baca Juga:Yusri Risau Lebih Ramai Pemain Angkat Kaki

    Leave a comment

    Your email address will not be published.