• Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie meminta para pemain untuk lebih bersabar mengenai pembayaran gaji pertama musim ini.

    Datuk Amizal juga memohon kepada para pemain untuk tidak meninggalkan pasukan meskipun persatuan itu sedang berdepan dengan isu tunggakan gaji sejak musim lalu.

    “Kita tidak boleh halang kemahuan pemain tetapi saya mengharapkan pemain dapat bersabar kerana kita sememangnya sedang berdepan kekangan kewangan susulan masalah musim lalu.

    “Memang kita sudah memaklumkan kepada pemain mengenai kelewatan pembayaran tetapi kita sedang berusaha mencari jalan untuk melunaskan pembayaran gaji kepada mereka.

    “Apapun, saya harapkan ini tidak menghalang fokus mereka untuk aksi bertemu UKM FC selepas ini kerana ini perlawanan yang penting untuk kita,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Pada masa yang sama, Amizal mengakui mereka sentiasa terbuka kepada mana mana pihak yang mahu bekerjasama dengan mereka.

    “Kita sentiasa mengalu alukan jika ada pihak yang mahu menaja dan membantu pasukan ini,” tambahnya.

    Sebelum ini, penyerang senior pasukan itu, Safee Sali mendedahkan beliau dan rakan sepasukan masih belum menerima gaji pertama bagi saingan musim 2019.

    Menurut Safee, pengurusan pasukan telah berjanji akan membayar gaji pertama pemain sebelum bermulanya saingan Liga Perdana. Namun, janji tersebut masih belum ditepati sehingga saat ini.

    Dengan pembayaran gaji pertama yang masih belum jelas, terdapat ura-ura mengatakan beberapa pemain ternama bakal meninggalkan pasukan itu.

    Masalah pembayaran gaji ini sudah dapat dilihat sebelum musim 2019 memuka tirainya. Keputusan empat penaja besar yang menarik diri daripada menaja pasukan atas faktor isu tunggakan gaji yang dihadapi persatuan itu serta membawa masuk beberapa nama besar merupakan petanda awal Perlis akan menghadapi isu tunggakan gaji dengan lebih serius.

    Kini, ramai pihak yang mendesak agar PFA segera melangsaikan gaji pemain agar perkara ini tidak menjejaskan prestasi pasukan. Perlis akan membuka tirai Liga Perdana musim ini dengan menentang pasukan UKM FC pada esok.

    Baca Juga: Pemain Ternama Bakal Tinggalkan Perlis?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.