• Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) menegaskan mereka sudah menghantar dokumen berkaitan kewangan persatuan itu kepada pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

    Perkara ini disuarakan oleh Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie dimana beliau menyatakan MFL telah memberi pengesahan dimana Perlis menjadi salah satu daripada lima pasukan yang telah menghantar dokumen kewangan.

    “Tadi (semalam) MFL dah sahkan kita (PFA) satu daripada daripada lima pasukan yang sudah menghantar dokumen kewangan,” kata Datuk Amizal menerusi laporan Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan Liga Perdana 2019 antara Johor Darul Ta’zim II menentang Perlis di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), semalam.

    Pada masa yang sama, Datuk Amizal turut mengulas mengenai isu tunggakan gaji pasukan itu dimana beliau meminta sedikit masa lagi dan menyatakan ada penaja yang sanggup untuk membantu pasukan menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

    “Alhamdulillah kita (PFA) ada penaja yang bersetuju untuk bantu kita dan kita akan buat yang terbaik.

    “Dalam masa terdekat (selesaikan isu tunggakan gaji pemain) dan kita perlukan sedikit lagi masa,” katanya.

    Sementara itu, penyerang sekaligus ketua pasukan Perlis, Safee Sali berkata beliau menyerahkan kepada pihak pengurusan PFA berhubung isu tunggakan gaji dan dakwaan mengatakan beberapa pemain Singa Utara yang akan ‘angkat kaki’ daripada pasukan itu.

    “Perkara itu saya serahkan pada badan pengurusan, saya tidak mahu memberikan sebarang komen.

    “Apa yang penting kami sudah menjalankan tugas sebagai pemain dan nantikan sebarang perkembangan daripada pihak pengurusan,” kata.

    Tunggakan gaji pemain Perlis yang beraksi bersama pasukan bagi saingan Liga Malaysia musim 2019 sudah memasuki bulan kedua. Manakala tunggakan gaji pemain yang beraksi bersama pasukan musim lalu masih belum diselesaikan.

    Hasrat PFA yang mahu menggunakan geran tahunan yang diberikan oleh MFL bagi menyelesaikan kemelut tersebut tidak menjadi kenyataan apabila MFL menegaskan mereka akan menggantung geran tahunan pasukan yang berdepan dengan isu tunggakan gaji.

    Baca Juga: Dua Pasukan Gagal Serahkan Dokumen Berkaitan Kewangan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.