• Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menyambut baik langkah tegas yang diambil oleh pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam usaha menyelesaikan isu tunggakan gaji.

    Bagi MFL, meskipun tindakan yang bakal dikenakan sedikit keras, namun langkah itu tidak boleh dianggap zalim sebaliknya satu langkah ke depan untuk memastikan nilai profesionalisme terus dijunjung.

    Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PFAM, Izham Ismail berkata beliau menyambut baik apabila MFL turut mempunyai fikiran sama dalam isu ini dan pihaknya akan pastikan pemain dibela dengan sewajarnya.

    “PFAM bersetuju dengan tindakan dan pandangan MFL yang diterajui Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan tindakan tegas adalah langkah terbaik untuk menangani isu tunggakan gaji pemain.

    “Tindakan tegas MFL kepada Kuantan FA patutnya jadi peringatan kepada semua pasukan supaya tidak mengambil ringan isu tunggakan gaji.

    “Malah ketegasan ditunjukkan MFL adalah bukti bahawa era lapuk tunggakan gaji akan diperangi sehabis-habisnya. Ini bukan niat untuk berlaku zalim, tetapi ini adalah sebuah langkah ke hadapan untuk memastikan nilai profesionalisme terus dijunjung.

    “PFAM berharap agar masalah tunggakan ini dapat diselesaikan dengan pasukan terbabit agar mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan masalah ini dalam kadar segera,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    MFL sebelum ini menegaskan mereka mungkin akan menggantung geran tahunan pasukan yang gagal untuk melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

    Langkah ini diambil kerana MFL mahu mengentikan budaya pasukan Liga Malaysia yang hanya menunggu geran tahunan untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain.

    Pada masa yang sama, Izham berkata tiada jalan pintas boleh diambil pasukan jika diselubungi tunggakan dan tindakan tegas perlu diambil jika ada pihak mengambil mudah usaha melangsaikan gaji pemain.

    “PFAM menyambut baik usaha MFL dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) untuk membantu menyelesaikan isu gaji ini melalui mekanisme pemotongan geran dan saya ingin menekankan bahawa tiada jalan pintas boleh diambil pasukan sekiranya mengalami masalah tunggakan gaji di masa hadapan.

    “Ingatlah, pemain adalah manusia yang turut bekerja demi sesuap nasi dan apa yang kita lihat di atas padang itu mungkin sekadar sebuah permainan, tetapi itulah perjuangan hidup seorang pemain bola sepak profesional.

    “Hukuman tegas seperti potongan mata, embargo perpindahan, larangan mengambil pemain baharu, dan penggantungan penyertaan perlu dikuatkuasakan. Tiada kompromi terhadap pasukan yang terus sambil lewa dalam isu tunggakan gaji,” tambahnya.

    Baca Juga: 7 Pasukan Gagal Hantar Dokumen Lengkap

    Leave a comment

    Your email address will not be published.