• Bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali dikhabarkan semakin hampir untuk meninggalkan pasukan Perlis dan menyertai pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super musim ini Petaling Jaya City FC.

    Berita mengenai perpindahan Safee Sali ke PJ City FC sedang hangat beredar di laman media sosial dimana ramai yang berpendapat sebab utama bekas penyerang Selangor dan Arema FC ini mengambil keputusan untuk berhijrah adalah kerana Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) masih gagal untuk membayar tunggakan gaji beliau yang sudah memasuki bulan kedua.

    Krisis tunggakan gaji yang dihadapi oleh PFA ketika ini sememangnya memberi kesan terhadap pasukan khususnya persembahan para pemain di atas padang.

    Setelah tidak mendapat gaji sejak menyertai pasukan, beberapa pemain bintang yang sebelumnya dibawa masuk untuk memperkuatkan pasukan sedang berkira-kira untuk meninggalkan pasukan.

    Badhri Razdi menjadi pemain bintang pertama yang mengangkat kaki apabila beliau tidak lagi beraksi bersama pasukan. Selepas memberikan amaran kepada pengurusan pasukan agar segera membayar gaji pemain yang beraksi bersama pasukan musim ini, kelibat Piya bersama skuad Singa Utara terus tidak kelihatan.

    Bekas pemain tengah skuad kebangsaan ini dikatakan semakin hampir untuk kembali memperkuatkan pasukan Kelantan. Piya bersama bekas ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak dilihat hadir menyaksikan perlawanan antara skuad Red Warriors menentang UKM FC di Stadium KLFA pada Ahad lalu.

    Dengan penghijrahan Badhri dan juga Safee, beberapa pemain Perlis yang lain dijangka bakal mengikut jejak langkah dua pemain senior ini sementara jendela perpindahan pertama Liga Malaysia musim ini masih dibuka.

    Pemain seperti Nazrin Syamsul Bahri, Khiryl Muhymeen, Shahril Sa’ari dan Nasriq Baharom dijangka meninggalkan pasukan dan menyertai sama ada pasukan yang beraksi di Liga M3 ataupun pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana.

    Baca Juga: PFA Sudah Menghantar Dokumen Kewangan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.