• Pasukan Selangor berada dalam keadaan serba kekurangan menjelang perlawanan Liga Super minggu kelima menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim di Stadium Shah Alam pada esok.

    Ketua jurulatih pasukan, B.Sathianathan memberitahu dua pemain importnya, Rufino Segovia dan Taylor Regan mengalami kecederaan saat akhir dan perkara ini jelas membuatkan Sathia resah dengan persediaan serta peluang pasukan untuk mencatat keputusan positif.

    Menurut laporan Stadium Astro, Rufino gagal untuk menamatkan sesi latihan hari ini manakala situasi Regan masih lagi belum pasti sama ada beliau bakal diturunkan atau sebaliknya.

    Seorang lagi pemain, Khyril Muhymeen juga masih belum jelas situasinya kerana beliau dikhabarkan mengalami kecederaan ketika sesi latihan.

    “Rufino tidak pernah seperti itu. Apabila berlatih, dia akan berlatih bersungguh-sungguh. Tetapi hari ini dia minta untuk keluar kerana kesakitan di perut. Ia menunjukkan kami kurang bernasib baik.

    “Saya tidak tahu mengapa ia boleh terjadi, namun saya berharap mereka berdua dapat diturunkan ketika kami berdepan pasukan terkuat di Malaysia,” katanya.

    Tambah Sathia, beliau akan memberikan peluang kepada pemain baru, Fandi Othman dan beliau akan diturunkan di bahagian sayap sambil dibantu oleh Nurridzuan Abu Hassan yang akan bermain sebagai left back.

    Bagi seorang lagi pemain baru, Sandro Da Silva, bekas pemain import Kedah ini berkemungkinan besar bakal diturunkan dalam kesebelasan utama setelah beliau direhatkan pada perlawanan menentang pasukan Pahang.

    “Bukan senang buat Sandro yang baru tiba dari Brazil dengan penerbangan 30 jam.

    “Dia memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk menyesuaikan diri.

    “Nuri pula beraksi baik sewaktu menentang Pahang, jadi saya akan mengekalkannya di posisi pertahanan kiri,” tambahnya.

    Kekurangan pasukan Selangor ini bukan sahaja merisaukan jurulatih tetapi merisaukan para peminat yang menunggu kemenangan pertama Selangor dalam saingan Liga Super musim ini.

    Jika Rufino gagal untuk pulih menjelang perlawanan esok, maka tempat beliau berkemungkinan besar bakal diisi oleh Sean Eugene Selvaraj dan pemain muda ini akan dibantu oleh Sandro, Endrick dan Faiz Nasir.

    Baca Juga: Sathia Minta Diberikan Masa Perbaiki Prestasi Pasukan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.