• Ketua jurulatih pasukan bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee sedar tugas getir menanti pasukan bimbingannya dalam saingan AFF Bawah 22 Tahun di Kemboja yang akan bermula hari ini.

    Pasukan negara akan membuka tirai saingan pada Isnin ini menentang pasukan tuan rumah dan beliau merasakan selain sokongan padu yang akan diberikan oleh peminat Kemboja, pasukan bawah 22 tahun yang lain turut menampilkan peningkatan yang ketara.

    Meskipun bakal menghadapi tugas getir, namun Kim Swee tetap menetapkan sasaran dimana beliau mahu Malaysia untuk mencatat kemenangan pertama dalam saingan edisi kali ini.

    “Saya tidak rasakan ia tugas yang senang kerana semua pasukan di pentas peringkat umur mempamer peningkatan. Untuk itu kita perlu sentiasa berwaspada.

    “Terutamanya dengan sokongan penyokong dan saya yakin ia satu perlawanan yang menarik. Apa pun saya harap kami mampu dapatkan keputusan yang kami inginkan,” katanya kepada Berita Harian.

    Pada masa yang sama, Kim Swee menegaskan anak-anak buah beliau tidak akan berdepan dengan sebarang masalah apabila beraksi di atas padang tiruan kerana sudah membiasakan diri ketika latihan di Majlis Sukan Negara (MSN).

    “Ini bagus untuk pasukan di Asia Tenggara. Kejohanan ini penting daripada aspek persiapan dan bagi kita saya mahu jadikan pendedahan serta mahu lihat peningkatan dalam beberapa aspek sebelum ke Kelayakan AFC B-23.

    “Saya tidak rasa ada masalah main atas rumput tiruan kerana semua negara di dunia juga ada. Jadi itu bukan isu besar dan harap ia dapat berlangsung dengan baik.

    “Kemenangan memang penting tetapi akhirnya adakah kita mampu layak ke Kejuaraan AFC B-23 atau tidak?,” ujarnya.

    Saingan AFF Bawah 22 tahun menjadi pentas persediaan terakhir bagi skuad bawah 22 tahun negara sebelum beraksi dalam saingan peringkat kelayakan AFC Bawah 23 Tahun yang dijadualkan bermula pada Mac ini.

    Dalam saingan di China awal tahun lalu, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee mencipta kejutan dengan mara ke peringkat suku akhir namun tewas kepada Korea Selatan.

    Baca Juga: OKS Mahu Skuad Bawah 22 Tahun Cipta Kejutan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.